Sarah muncul, seperti biasa; cepat dan pantas menuju ke arah saya di bilik Kak Jannah. Kak Jannah merungut marah kerana lama tidak bertemu. Sarah mengaju sebab, mengunjuk kakinya yang bengkak. Terseliuh katanya. Dua hari terbaring diurus teman senegara yang baik hati, Anam dan teman baru yang baru beberapa minggu tiba dari Banglore. Tambah becok mulut Kak Jannah, membebel marah kerana Sarah tidak memberitahu. Harus, dia diberitahu agar boleh membantu. Sarah menjawab, tidak mahu menyusahkan. Kak Jannah tarik muka. Dia harus tahu. Dia adik. Sarah mempertahan sikapnya. Kak Jannah membalas. Saya di tengah melihat, tergelak. Sangat lucu melihat kedua-dua teman berperang mesra. Saya katakan pada Sarah, awak tahu apa yang mahu saya buat sekarang? Mahu melukis wajah awak berdua. Sangat menyenangkan bersama keduanya. Kakak-kakak saya yang sangat peramah dan banyak mulutnya. Sarah, ibu anak satu dari India dan Kak Jannah, beberapa tahun lebih tua dari saya, gadis Acheh yang rajin dan kuat semangat.
Sarah datang dengan kaki yang masih sakit. Sudah kurang, tak mengapa, katanya. Saya kesal tidak mengetahui kondisinya hingga dia sanggup bersusah payah bertemu saya di bilik Kak Jannah. Cepat sahaja dia mmbaca baris demi baris dan membetulkan kesalahan tatabahasa assignment saya. Memang dia persinggahan akhir saya sebelum tugas-tugas kuliah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris diserah kepada pensyarah. Sangat senang membantu biar sibuk. Saya selalunya tidak menunggu lama kalau berurusan dengan Sarah. Kerjanya laju, cepat. Dia juga kakak yang baik. Tempat saya mengadu dan menangis bila sesuatu hal menimpa terutamanya yang berkait dengan hati. Hehe. Selalu bicaranya menenangkan dan mendewasakan saya. Saya senang dengan sikap terus terangnya dalam banyak hal. Kalau salah dikata salah, kalau betul disokong.
Kak Jannah juga begitu. Mungkin kerana saya jauh lebih muda, saya jadi manja dan lebih senang mendengar berbanding apabila bersama teman-teman yang sebaya atau lebih muda. Saya akan jadi kakak yang becok dan garang. Saya bahagia, bersyukur dianugerahi sahabat-sahabat terbaik di sekeliling saya.
Semalam, saya memanggil seorang adik dari Sudan bertemu saya secara personal. Dia satu-satunya pelajar antarabangsa dalam kelas Halaqah saya yang berjumlah 45 orang. Selain untuk cover kelas yang tidak dihadirinya, saya mahu berbicara mendengar pendapatnya tentang Malaysia. Dia tersenyum bila saya ajukan soalan. Saya rasa sangat asing pada minggu-minggu pertama saya, katanya. Rakan-rakan Malaysia seolah-olah cuba mengelak untuk bersama kami dalam satu kumpulan apabila perlu kepada kerja-kerja by group. Asing, ya. Budaya kami biasanya memuliakan tetamu. Tapi di Malaysia, anda seperti tidak dialu-alukan. Mungkin kerana imej tidak baik yang dipaparkan pelancong-pelancong Arab terutamanya dari Negara Teluk yang berkunjung ke Malaysia untuk bercuti. Kawan-kawan dan pensyarah menganggap kami yang datang dari keluarga yang kaya. Mereka tidak tahu, kos hidup dan belajar di Malaysia sebenarnya lebih murah berbanding di Sudan.
Saya angguk, mengakui memang ramai rakyat Malaysia yang punya tanggapan buruk kepada warga Arab tanpa membezakan dari mana mereka. Arab adalah Arab, sama semuanya. Mungkin kesan pengalaman menunaikan haji di Mekah atau belajar di Timur Tengah maka, cerita-cerita buruk itu dikongsi dan jadi bahan rujuk ramai orang. Arab kasar, suka duit, gatal dan banyak lagi. Tambah buruk lagi dengan paparan media beberapa bulan lalu soal perkahwinan dengan warga Arab yang banyak menemui kegagalan. Emak saya pantas menelefon apabila keluar kenyataan seorang menteri di Jab Perdana Menteri, mantan pensyarah UIA tentang ini. Tentang ramai pelajar UIA yang jatuh cinta dengan pensyarah atau pelajar Arab. Emak saya menekankan, itu, Dr tu dah bagi statistik. 10 dari 12 pasangan yang berkahwin dengan warga Arab menemui kegagalan. Saya tak salahkan emak. Tapi panas hati dengan kenyataan yang pada saya masih boleh dipersoalkan. Perkahwinan campur memang sukar. Saya akui itu. Tapi itu tak bermakna kita boleh mengatakan ia adalah perkahwinan paling mudah menemui jalan buntu dan berakhir dengan perceraian. Cuba tengok statistic perceraian di Malaysia, menggigil badan melihatnya.
Saya bukan mahu memenangkan sesiapa. Saya cuma mahu berkongsi apa yang saya dengar, lihat dan rasai. Saya kira warga melayu Muslim UIA harus belajardan berusaha membina dunia Islam kecil yang harmoni, tenang dan menyenangkan. Ini bukan kali pertama saya menerima komen dari teman-teman antarabangsa saya. Kita memang gagal dalam bab memuliakan tetamu seperti warga Arab memuliakan tetamu tetapi dengan sedikit santun, budi bahasa dan lembut hati kita, saya kira kita warga Malaysia mampu menjadi rakan yang baik. Entah, apa kerana kita masih sangat pemalu untuk bertegur sapa membina jaringan atau kerana kita tak merasa perlu membina ukhuwah atas dasar iman dan Islam yang kita kongsi bersama. Sukar kan menyambut pesan baginda Rasul s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia menyintai saudaranya seperti menyintai dirinya sendiri (Riwayat Bukhari & Muslim).
Memulakan perkenalan pun kita malas, apa lagi mahu menyintai dan menjadi seperti Ansar kepada Muhajirin. Ya, kita menjadi sangat berkira dengan masa untuk membina sesebuah perhubungan, berkira dengan apa yang kita miliki. Sukar untuk berkongsi. Saya masih belajar memahami hadith itu. Tidak mudah mempraktikkannya. Saya pernah menerima sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya. Namun, saya belum mampu memberi sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya..
Nota: Sarah lebih tua dari Kak Jannah. Tapi kerana dalam Bahasa Inggeris tidak ada panggilan khas tanda hormat pada seseorang yang lebih tua, maka saya terbiasa memanggil Sarah dengan nama sahaja. Kak Jannah kerana dia juga Melayu, maka gelaran kak itu melekat hingga ke tulisan ini..
2 Komentar:
Betulla Sit, mmg org Malaysia terutamanye perempuan pergi klas & balik klas je. Jarang sgt lepak2 kt kampus borak2 dgn sesama student lbh2 lg foreign student. Mungkin jugak takut nk b'tegur-sapa sbb xbiase b'ckp dlm foreign language, malu ckp sangkut2 @ sbb mmg nk cpt2 blk rumah anak2 dah menunggu.
Tp K.Teh xberani jugak nk komen pjg sbb xpenah blaja di o'versea. Kdg t'fikir bile kite di o'versea foreigner akan tegur kite semudah kite menegur org @ mereka menunggu kite menegur dahulu??
Bukan masalah budaya k.teh rase, mmg dah peribadi org mcm tu.. Ade yg blh memulakn p'bualan & ade yg perlu diapproach dulu..
Pengalaman saya di Syria, selalunya org tegur dulu.Kalau pi masjid atau dalam kenderaan awam, ada je yang rajin tegur, tanya kita dari mana. Ajak datang rumah. Negara lain tak tahulah.
Mungkin juga soal peribadi. Kita tak rasa nak mulakan.Tak rasa nak amik peluang bertukar cerita. Hmmm...
Post a Comment