2

Syawal; Ziarah dan Puasa Enam



Jemputan Rumah Terbuka mula menghujani. Sukar juga memenuhi sebahagiaannya atas faktor pertindanan, masa atau jarak. Syawal, memang bulan merapatkan ukuwah, buat menautkan kembali hati-hati yang terasa jauh biar atas apa sebab pun. Sungguh, ruang untuk saling bermaafan dan menghubungkan silaturrahim ini tidak harus dipandang enteng.

Saya teringat waktu kecil-kecil dahulu kalau beraya di rumah nenek di Melaka. Nenek punya satu peraturan. Hari raya, kami tidak dibenarkan duduk di rumah. Wajib pergi berziarah. Selepas habis rumah-rumah saudara terdekat kami ziarahi bersama keluarga, saya dan sepupu akan bertandang rumah demi rumah sehingga habis satu kampung (kami sbt; habis satu Ganun-kg nenek saya). Memang, kita sangat teruja menyambut hari raya waktu kecil dahulu kerana habuan duit raya. Tapi saya tak nafikan, peraturan nenek itu banyak mendidik, mengenalkan dan membiasakan kami dengan saudara mara jauh. Kami memang tidak memperkenalkan nama masing-masing. Selalunya orang kampung akan tanya- ekau anak sapo? Maka menjawablah kami. Cucu Nenek Kimbok ngan Tok Jenal, anak Senab(emak saya tidak dikenali dengan nama Ramlah di kg). Sepupu saya yang lain juga; anak Somah, anak Kosum, anak Sonah.

Apabila dewasa, saya jadi marah apabila adik-adik lebih mementingkan tidur atau tv berbanding ikut berziarah ke rumah saudara mara atau teman-teman terdekat emak ayah. Memanglah, kita akan jadi bisu. Tapi kita akan belajar. Penting mengenali mereka-mereka ini. Saudaralah tempat mengadu susah di kemudian hari atau tolong meringankan beban atau paling tidak memeriahkan kenduri di rumah kita nanti. Teman-teman ibubapa pula, bukankah Rasul s.a.w berpesan untuk berbuat baik kepada teman-teman ibubapa apabila ketiadaan mereka? Lalu bagaimana kalau kita tidak mengenali mereka?

Justeru, sambut dan hidupkanlah semangat Syawal ini dengan ziarah tanpa terlupa menyusun hari untuk puasa enam dan puasa qada'. Untuk saya, saya cenderung kepada pendapat yang mendahulukan puasa 6 daripada puasa qada' selaras dengan apa yang dipraktikkan oleh Syaidatina 'Aisyah sebagai usaha untuk merebut pahala puasa 6. Ini kerana puasa ganti ini adalah wajib muwassa' iaitu, panjang waktunya. Namun, ada pendapat yang membenarkan digabungkan kedua-dua puasa. Iaitu niat puasa qada dan moga-moga Allah mengira sekali pahala puasa enam.

Bagaimana ya, prestasi amal kita Syawal ini dan seterusnya selepas graduate daripada madrasah tarbiah Ramadan. Saya akui, penangan kesibukan hari raya sedikit sebanyak mejadikan paras prestasi amal merudum teruk. Stamina juga menurun. Kalau ada sedikit sesal di hati atas kelalaian ini,teman, ayuh...kita semarak dan kobarkan ia kembali. Moga tak tersia latihan sebulan penuh Ramadan. Doa untuk saya, untuk anda juga. Salam Eidilfitri.

2 Komentar:

Faiz Faiza said...

bonda, plan last week ke rmh k.ida batal. kwani xdpt keluar drpd program. kena tgk this week plk

Maryamnour said...

ooo.ingat dah pi. menariks, tertariks jugak nak ikut korang.minggu ni dah lapang sikit.

Post a Comment

Back to Top