Lamanya tak menulis di sini. Maaf, saya sedang berada di medan jihad. Sedang bergelut dengan buku dan kertas. Tak seronok pula rasanya tidak menyediakan hidangan baru untuk tetamu yang datang bertandang ke teratak saya. Saya kongsikan dulu artikel tulisan saya yang tersiar dalam ANIS- Febuari untuk manfaat bersama. Habis exam nanti, saya ulas lagi tentang ini dan saya berminat untuk mengetahui komentar orang lain tentang isu yang saya kongsikan.
Tajuk: Dekati Al Quran
Pasti kehadiran tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 telah disambut oleh para remaja sekalian dengan penuh azam membara. Pasti segala aspek dititikberatkan dengan mengambil kira kekurangan dan kesilapan tahun lalu juga kecemerlangan yang dicapai. Harapnya, salah satu dari azam-azam kita itu adalah untuk memperbaiki hubungan kita dengan Dia-Kekasih.
Apa pun, eloklah dalam bulan-bulan awal ini kita meneliti kembali azam kita. Adakah ia azam yang tersusun, berjadual dan praktikal atau sekadar keinginan dan impian yang akan dipenuhi ‘kalau sempat.’ Justeru, apa kata kita zoom kepada satu azam penting yang tidak harus tertinggal dalam diari seorang muslim.
Apa pun, eloklah dalam bulan-bulan awal ini kita meneliti kembali azam kita. Adakah ia azam yang tersusun, berjadual dan praktikal atau sekadar keinginan dan impian yang akan dipenuhi ‘kalau sempat.’ Justeru, apa kata kita zoom kepada satu azam penting yang tidak harus tertinggal dalam diari seorang muslim.
Ada pelbagai cara mengenal dan mendekati Dia, Yang Maha Pemurah memanjangkan usia kita dalam iman dan kesihatan. Orang bercinta selalunya akan bertambah kasihnya tiap kali menatap dan membaca surat, email atau mesej daripada kekasih. Apakah cinta dan rindu kita pada Dia bertambah saban kali kita membaca al-Quran?
Sejak kecil kita dikenalkan dengan kalam Allah. Dari merangkak-rangkak mengeja, membaca, menghafaz surah-surah pendek untuk dibawa solat hingga khatam keseluruhan al-Quran, apakah semakin kuat mencengkam pesan-pesan Kekasih dalam hati sehingga terzahir kesannya pada peribadi kita atau sebaliknya atau ia cuma bacaan yang tak punya sebarang tarikan, sekadar memenuhi tuntutan al-Quran itu untuk dibaca..
Hak al-Quran
Sahabat, kalam Kekasih itu punya beberapa hak yang dituntut untuk kita melaksanakannya. Hak untuk diimani, hak untuk dibaca, hak untuk difahami isinya dan hak untuk diamalkan. Sehingga usia kita hari ini, sudahkah kita sempurnakan segala hak tersebut? Marilah kita sama-sama mengkoreksi sejauh mana keintiman kita dengan kalam Tuhan ini.
Beriman dengannya? Ya, kita percaya ia mukijzat Rasul s.a.w yang kekal hingga ke akhir zaman. Membaca? Ya, kita sudah beberapa kali khatam. Bertajwid membacanya? Ya, kita sudah belajar dan mematuhinya. Belum? Jangan malu untuk sesuatu yang perlu. Memang tidak wajib mempelajari tajwid tetapi membacanya dengan tajwid adalah wajib. Justeru, kalau masih belum memenuhi hak ini, carilah guru. Usah malu walau usia telah meningkat dewasa.
Berguru
Juga, ingin diingatkan di sini, al-Quran itu perlu dipelajari secara berguru. Ingat bagaimana Jibril a.s mengajar Baginda Rasul kemudian Baginda mengajarnya kepada para sahabat. Para sahabat seterusnya mengajarnya pada sahabat-sahabat yang lain serta kaum keluarga mereka. Begitulah proses pengajaran al-Quran berlangsung dari generasi ke generasi. Sehingga pada zaman Syaidina Uthman apabila beliau mengarahkan umat Islam sepakat mengikut al-Quran yang dihantar kepada mereka, beliau tetap menghantar guru beserta al-Quran tersebut. Ini menunjukkan kepentingan al-Quran itu dipelajari secara berguru.
Kelansungan Interaksi dengan al-Quran
Seterusnya, jika hak di atas telah dipenuhi, marilah kita melihat pula kepada usaha kita mentadabbur atau memahami isi al-Quran. Jika ditanyakan berapa peratuskan isi al-Quran yang sudah difahami maknanya, pasti kita tergaru-garu mencongak. Ya, kita sering mendengar ustaz ustazah menghurai maksud ayat al-Quran dalam ceramah di mana-mana atau di media elektronik atau kita barangkali rajin membaca tafsir. Tapi adakah kita sudah menjadikannya satu jadual wajib seperti mana kita dipaksa oleh ibubapa kita untuk mengaji setiap hari sebelum khatam dahulu? Nah, apakah jadual ‘mengaji’ baru bagi menggantikan jadual lama dahulu?
Setelah khatam al-Quran, kebanyakkan kita sudah kurang mengambil berat tentang perlanjutan hubungan kita dengan al-Quran. Sekadar Yasin setiap malam Jumaat kadang-kadang sudah memadai pada anggapan sesetengah orang. Sedangkan kalam Kekasih itu adalah manual hidup yang merangkumi segala panduan dalam memastikan kita tidak tersasar membawa diri sebagai khalifah di atas muka bumi ciptaan-Nya.
Justeru, ada baiknya untuk tahun ini kita berdikit-dikit cuba meningkatkan usaha kita untuk mendekati Dia. Bukankan dengan mendekati Dia, kita akan lebih mengenali diri kita? Tidakkah kita mahu mengenali Dia yang telah mencipta segala keajaiban yang maha hebat? Antaranya seperti yang terkandung dalam firman Allah:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفاً أَلْوَانُهَا...
Maksudnya “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya…” (Faatir: 27) . Lihat, dari air hujan yang sama, dihadiahkan kita buahan-buahan pelbagai rupa juga haruman berbeza dari bermacam bunga-bungaan aneka warna yang menyejukkan mata memandang.
Susun Jadual
Bukan mudah memulakan azam ini. Mulakanlah dengan mengkaji ayat-ayat yang sering kita dengar atau baca. Kemudian diteruskan dengar ayat-ayat yang dekat dengan kehidupan harian kita. Jika kita pelajar Sains, ada pelbagai fenomena alam termaktub dalam al-Quran. Kalau kita seorang perempuan, antara surah yang dipesan oleh Syaidina Umar dan Ummul Mukminin, ‘Aisyah untuk diajarkan kepada kita adalah Surah an-Nur. Untuk permulaan, cara ini mungkin akan dapat menumbuhkan minat kita kepada tafsir al-Quran berbanding mula membaca tafsirnya dari awal al-Fatihah, al-Baqarah dan seterusnya. Ini untuk mengelakkan kita mudah jemu dan berhenti walaupun baru sahaja memulakannya. Mintalah pandangan dan bantuan tentang ayat-ayat pilihan ini daripada mereka yang mendalami bidang ini.
Bagaimana dengan pilihan kitab tafsir? Ada beberapa kitab yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Fi Zilal (Sayyid Qutb). Juga ada tafsir yang memang ditulis dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Hamka dan Tafsir Sonhadji. Jangan lupa mencatat setiap ayat yang telah kita baca dan fahami huraian ayatnya selain mematuhi jadual yang kita tetapkan untuk diri kita. Buatlah sasaran peribadi contohnya, dua ayat seminggu bagi bulan pertama kemudian meningkat kepada tiga ayat seminggu untuk bulan seterusnya. Motivasikanlah diri anda dengan jadual berwarna-warni atau cari kawan yang akan berganti-ganti dengan anda membaca dan menerangkan kefahamannya kepada anda.
Akhir sekali, jangan lupa tentang hak al-Quran untuk diamalkan isinya. Tanamlah dalam hati agar al-Quran yang kita baca tidak melaknat kita semula hanya kerana keegoan kita untuk tunduk dan patuh pada pesan Pencipta, Kekasih Agung.
Ayuh, mulakan melarik jadual anda sementara masih dikurnia hammasah (semangat) darah muda dan upaya melaksanakannya.
4 Komentar:
Hmm..best artikel ko bonda.. Makin hebatla penulisan ko, nanti aku suh cucu ko si Hana menuntut ilmu penulisan ngan ko yek? hihihi.. Hmm.. dah lama aku tak beli Anis.. asyik beli Mingguan Wanita ngan Rapi aje... huhuhu
Ooo.itu sudah pasti.Aku sedang merancang jadual tamrin utk cucu-cucuku. Tgh buat framework.hahaha. Special Time With Nenda.
Jangan download software AL-QURAN Pro Ver.3.0 seperti yang dinyatakan diatas oleh Frida Lidwina (nama kristian). Isi kandungannya bukan Al Quran tapi sebaliknya Bible. Orang Kristian sekarang semakin terdesak menyebarkan ajaran tipu mereka. Ugama tipu laknat sudah tentu akan menggunakan cara tipu juga.
salam bonda,
Sy cukup tertarik ngan apa yg bonda tulis ni... "al-Quran untuk diamalkan isinya" - tp apakah usaha kita?
Apa pendapat bonda tentang pemuda kahfi yg berusaha mengajak masyarakat sekarang kpd Al-quran tp dikatakan sesat. Perlukah kita pelajari ilmu Al-Quran ini dgn ustaz/uztazah jer... Klau betul hny ustaz/ustazah je yg perlu kita ikut dan pelajari ilmu agama, tp kenapa masalah sosial x dapat diatasi lg.. malah dr hari ke hari, ianya semakin teruk dan buruk.
Bonda, sy bukannya menunding jari tp... apa salahnya kita kaji selidik dulu baru buat keputusannya.. Semua umat Islam mahukan Islam yg sejahtera…
Post a Comment