Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك

Apakah hasilnya setelah anda terbalikkan setiap perkataan? Juga untuk kalimah ini: عقرب تحت برقع. Ini sekadar contoh permainan bahasa.

Bahasa Arab sangat indah. Seperti bahasa lain, bahasa menjadi lebih indah apabila anda menyelami sasteranya.

Waktu mula-mula diperkenalkan dengan buku-buku adab Bahasa Arab, saya sangat teruja. Saya akan berhenti pada satu-satu halaman sambil mengulang-ulang ayat-ayat yang menarik perhatian saya. Benar-benar saya tenggelam dalam adunan bahasa indah sang penulis. Tentunya membaca buku adab berbeza dengan membaca buku bahasa Arab yang berkitar tentang fiqh, Quran atau pun subjek-subjek pengajian saya. Kecuali penulis memang bijak memilih bahasa seperti Syed Qutb, buku-buku pengajian lebih menjurus kepada istilah-istilah tertentu dalam bidang yang ditulis. Mengenali buku-buku adab, membuatkan saya lebih seronok membaca. Kemudiannya, apabila saya mula menulis tesis dan perlu membaca untuk itu, saya dapati tumpuan saya sedikit berubah, saya kurang laju untuk menghabiskan bacaan. Tumpuan saya lebih kepada penggunaan bahasa, bagaimana perkataan-perkataan digabungkan. Saya petik dan pindahkan kata-kata itu dalam helaian-helaian nota saya yang bersepah. Kemudian baru saya melihat sudut pandang penulis bagi sesuatu isu. Tapi tetap, penggunaan bahasa penulis sangat mempengaruhi saya.

Hingga saya terbawa-bawa waktu menulis tesis. Awal-awal, penyelia saya sudah menegur. Katanya, “Elakkan bahasa berbunga-bunga. Tesis adalah penulisan ilmiah”. Saya angguk sambil tersenyum panjang. Membaca menjadi aktiviti yang menyeronokkan tika itu sehingga melambatkan kerja menulis saya. (Oh, pastinya kerana saya ada ‘pembekal’ buku-buku yang tepat dan bermutu). Tambahan lagi, saya menulis sesuatu yang saya suka dan sesuatu yang dekat dengan kita semua: KELUARGA. Pastilah saya sangat tamak mahu mewarnakan tulisan saya dengan rangkaian kata yang menambat hati. Kerana apabila bicara tentang keluarga, kita akan bercakap tentang cinta dan kasih sayang, tentang sesuatu hubungan yang terbentuk, tentang perasaan-perasaan, tentang peribadi-peribadi dan watak yang wujud. Tentunya ia akan menjadi lebih indah sekiranya, perkataan itu dapat disusun supaya bahasanya memikat dan persuasif sifatnya supaya yang membaca akan tertarik dan terus membaca. Kerana menulis adalah tanggungjawab. Bukan sekadar memenuhi kehendak pengajian master. Tetapi juga tanggungjawab kepada yang akan menyelak helaian itu nanti apabila ia sudah di ‘digital’ kan di Perpustakaan Darul Hikmah. Supaya yang membaca akan beroleh sesuatu dari pembacaan itu. (Tesis saya pada waktu catatan ini ditulis baru dua minggu berada di tangan pemeriksa kedua. Doakan segalanya dimudahkan)

MULAKAN DENGAN YANG MUDAH

Saya sangat sukakan bahasa Arab. Saya belajar seperti sukatan yang disediakan waktu di sekolah dan di UM. Cuma, kerana minat yang mendalam, waktu di Nilam Puri (waktu memujuk diri kerana tidak dapat melanjutkan pengajian ke Mesir) saya rajin-rajinkan diri membuat salinan artikel-artikel mudah yang menarik untuk dibaca sperti cerita lucu Juha, artikel tentang perkahwinan, motivasi diri dan sebagainya. Kemudian, saya akan habiskan masa membaca setiap baris dan mencari maksud perkataan yang tidak saya fahami dalam Kamus Mawrid. Aktiviti itu menyeronokkan. Pada saya, kerana saya belajar sendiri, maka saya harus mulakan dengan sesuatu yang mudah dan tidak membebankan yang boleh membuatkan saya cepat bosan.

Justeru, nasihat saya pada adik-adik yang sedang belajar bahasa Arab atau belajar menggunakan bahasa Arab di UNIVERSITI, jadilah budak tadika, cari buku yang menarik dan mudah, drama atau filem bahasa Arab yang mudah. Kemudian, baru pergi kepada yang lebih sukar. Saya harap anda tidak akan cepat putus asa mendalami Bahasa Arab. Anda akan sukakannya nanti. Cuma anda belum berjumpa sesuatu yang ‘memegang’ hati anda untuk terus menyelami bahasa al Quran ini. Atau mungkin kerana anda perlu membetulkan niat. Niat yang kurang betul menjadikan bahasa Arab menjadi sangat payah dan membebankan. Niatlah, supaya bahasa ini akan membantu anda memahami Al Quran. Pasti Tuhan akan melorongkan jalan. Saya menanti anda memindahkan butir-butir tafsir yang indah dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu supaya ramai lagi yang akan mendapat manfaatnya. Apapun, siapa pun anda, saya mengajak anda memulakan pelajaran bahasa Arab, atau memulakan KEMBALI pengajiaan bahasa Arab anda yang terhenti atau mendalami lagi bahasa yang anda telah kuasai setakat ini.

BACA BUKU ADAB

Untuk menguasai bahasa Arab, anda perlu baca buku adab. Itu pesan ustaz kami waktu saya dan kawan-kawan mengikuti kelas tuisyen bahasa Arab. Selalunya, selepas belajar Nahu yang memeningkan dengan I’krabnya, kami akan berganti-ganti membaca teks adab. Ustaz akan membetulkan baris yang tersalah. Mula-mula agak menakutkan. Lama-lama ia menjadi aktiviti yang menarik dan ia banyak membantu mengaplikasi apa yang telah diajar dalam nahu. Antara buku yang dicadangkan untuk anda baca seperti:

فصول الإجتماعية – علي طنطوي

من وحي القلم- مصطفى صادق الرافعي

ثمرات القلم – محمد طه محمود

نظرات – مصطفى لطفي المنفلوطي

ساعات بين الكتب والناس – عباس العقاس

قطوف أدبية - عبد السلام هارون

Buku-buku ini membantu anda memperkayakan mufradat selain membantu memperbaiki uslub bahasa anda

Ulama’ Islam sangat kaya dengan ilmu. Limpahannya tidak sempat kita kutip. Kerana halangan bahasa. Kerana masa. Kerana malas. Hari ini saya memuhasabah diri. Mencemburui kawan-kawan yang sangat bersemangat menyalut diri dengan ilmu. Mencemburui sang suami yang rajin membuat nota bacaan.

Terima kasih membaca celoteh saya. Hadiahnya nanti. Akan saya kongsikan sebuah buku adab yang menarik karya al-Manfaluti.

BACA SELENGKAPNYA - Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك
0

Kalau Dosa Punya Bau

Kata Prof Arif di masjid UIA, Kalaulah dosa itu punya bau, maka akan larilah orang daripada mereka yang melakukan dosa kerana bau yang tidak tertahan akannya.

Setiap anak adam itu berbuat salah. Tetapi sebaik-baik orang yang berbuat dosa itu adalah orang yang bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang bertaubat nasuha akan kembali seperti orang yang tiada dosa.

Perbanyakkan ketaatan dengan melazimi yang fardu dan memperbanyakkan perkara sunat dan taubat kerana dalam al Quran ada menyebut, kebaikan itu penghapus dosa.

(.هود:114 إن الحسنات يذهبن السيئات)

Dalam suatu hadith riwayat termizi, Nabi juga ada menyebut, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun kamu berada dan gantikanlah setiap kejahatan itu dengan kebaikan kerana kebaikan akan menghapuskan dosa tersebut…”

Kembalilah pada-Nya. Jangan sesekali putus asa dari Rahmat Allah.


Buang Bayi

Menyesali kes-kes buang bayi yang semakin ketara, kita semua berharap akan ada penyelesaian untuk kemelut sosial yang semakin membarah ini. Terbaru, kanak-kanak dicampak dari tingkat 5 sebuah pangsapuri. Esoknya, seorang bayi ditemui dalam ruang buang sampah sebuah rumah teres. Apa yang dikesalkan adalah kebanyakkan penyelesaian masalah yang dicadangkan tidak bersifat pencegahan sedangkan Islam mengajar kita menyelesaikan masalah dari akar umbinya. Penyelesaian yang ada seperti mewujudkan baby hatch dan sekolah perlindungan adalah penyelesaian sementara yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar. Kita sama-sama akur perasan ‘tidak mengaku anak’ sehingga sanggup membuang bayi ini adalah kesan rasa malu.


Dosa Menghalang Rahmah

Malu kerana dosa. Dosa inilah yang telah menghilangkan fitrah keibuan seorang wanita sehingga sanggup membunuh anaknya. Dosa itulah yang menutup cebisan sifat rahmah Allah dari memasuki ruang hati mereka yang tergamak membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Tuhan telah mencipta 100 rahmat dan memberikan makhluk-makhlukNya satu daripada 100 sifat itu untuk dikongsi bersama. Dengan sifat itulah, seorang ibu mengasihi anaknya tanpa syarat dan binatang-binatang menyayangi anak-anaknya seperti harimau yang garang tetapi rahmah pada anaknya, gajah yang besar tidak pula hilang perasaaan memijak anaknya. Lalu mengapa manusia hilang sifat rahmahnya?

Malu dan 'Iffah Maryam

Dalam Quran ada menyebut tentang Maryam yang melahirkan anak tanpa suami. Memang Tuhan sendiri menggambarkan bagaimana sukarnya seorang perempuan menghadapi saat itu sehingga Maryam sendiri berkata, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini sehingga tiada siapa akan mengingati aku.’’ Menurut ulama’, ada dua sebab mengapa Maryam berdoa seperti itu. Pertama, dia tidak mahu orang memandang serong pada agamanya dan membuat fitnah pada dirinya. Kedua, dia tidak mahu kaumnya dikaitkan dengan penzinaan yang akan merosakkan nama baik kaumnya. (Mereka adalah kaum baik-baik jika dilihat dari kisah bagaimana mereka berebut-rebut untuk menjadi penjaga Maryam, anak yatim). As Syakrawi dalam tafsirnya menyebut, kalaulah anak perempuan Syeikh Madyan begitu malu (baca tentang malu di sini) ketika menjemput Nabi Musa ke rumahnya atas permintaan ayahnya, apatah lagi Maryam yang membawa anaknya bertemu kaumnya sedang tiada bersamanya suami.

Dalam situasi Maryam, dia memang sangat malu tetapi kerana dia tahu itu kuasa Tuhan dan dia sendiri perempuan yang baik-baik, maka sifat Rahmah itu masih kekal dalam dirinya. Waktu Jibril datang menjelma sebagai seorang lelaki, cepat-cepat Maryam bertegas, “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa”. Kata ulama’, ‘iffah(pemeliharaan kehormatan) Maryam pada waktu itu adalah sebaik-baik amal kerana beliau menunjukkan sikap tegas dan hati-hati sedangkan lelaki di hadapannya tidak menunjukkan sebarang niat serong. Malah hanya mereka berdua dalam bilik tersebut.

Teringat saya bicara Prof Husim. Kaunselor terkenal itu menyatakan, salah satu sebab seorang perempuan membuang bayi adalah kerana dia tidak boleh memaafkan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu. Lalu, kebenciaannya pada lelaki itu menyebabkan dia mahu menghapus segala yang berkaitan dengan lelaki tersebut termasuk bayi yang dikandungnya. Ini mungkin kesan kes perkosaan atau zina tetapi lelaki enggan bertanggungjawab. Kita simpati pada kes-kes kelahiran kesan perkosaan tetapi kita harap janganlah ditambah derita itu dengan bebanan dosa membuang anak. Kita lebih marah pada mereka yang membuang anak hasil zina. Dosa ditambah dosa.

Pelajari Sifat Maha Pengampun Tuhan

Seorang lelaki datang menemui Rabiatul Adawiyah dan bertanya,"Aku telah bertaubat. Apakah Tuhan akan ampunkan dosaku?" Rabiatul Adawiyah menjawab," Ya Jahil, engkau bertaubat kerana Tuhan telah mengampunkan engkau. Tidakkah engkau membaca ayat Quran yang menyebut:

ثم تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.) Justeru, jangan persoal adakah Tuhan menerima taubat kita atau tidak kerana apabila timbul keinginan bertaubat bermakna Tuhan memang ingin kita kembali pada-Nya dan melorongkan kita untuk bertaubat.

Tuhan itu Maha Pengampun. Dan dia sangat cinta akan orang yang meminta ampun-bertaubat. Bukankan cinta Tuhan itu paling tinggi nilainya?

قال الحسن البصري رحمه الله: "استعينوا على السيئات القديمات بالحسنات الحديثات، وإنكم لن تجدوا شيئا أذهب بسيئة قديمة من حسنة حديثة، وأنا أجد تصديق ذلك في كتاب الله: {إن الحسنات يذهبن السيئات}(10).

Bacaan tambahan tentang taubat dalam bahasa Arab di:

http://almoslim.net/node/125619,http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5581&version=1&template_id=104&parent_id=15

BACA SELENGKAPNYA - Kalau Dosa Punya Bau
0

Kenangan yang Mendidik

Sejujurnya, entri ini adalah entri penghormatan, terima kasih dan rasa terhutang budi kepada salah seorang guru yang banyak jasanya membentuk saya. Beliau guru saya waktu di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Selain mengajar kami waktu itu, beliau juga Ketua Warden. Saya lupa adakah beliau juga penasihat pengawas pada waktu itu. Yang pasti, beliau adalah rujukan utama saya dan sahabat-sahabat yang ditugaskan sebagai pengawas dan jawatankuasa asrama. Ustaz banyak membimbing dan mendidik kami secara langsung atau tidak. Dan secara peribadi, saya banyak terkesan dengan teguran umumnya dalam kuliah-kuliah. Serasa teguran itu bukan umum, sepertinya untuk saya, masuk ke jantung, tepat menusuk, menyentak! Begitu, saya tahu saya ada berbuat salah atau tersilap mencatur langkah. Kerana teguran itu berbentuk umum, maka saya tidak merasa malu pada kawan-kawan, tapi saya tahu, saya harus membetulkan diri. Sehingga saya menyambung pelajaran di UM, Nilam Puri, masih saya mengutusinya buat bertanya kemusykilan terutamanya hal-hal rumit yang sukar saya fahami atau temui jawapannya seperti soal kesufian saat segelintir sahabat waktu itu cenderung belajar tentang itu secara mendalam.

Tanpa saya sedar, jawapan ustaz tentang persoalan yang saya ajukan padanya menjadi asas kepada saya dalam membuat pertimbangan kehidupan seterusnya. Saya ingat, saya coretkannya pada kad nota berwarna kuning dan selalu juga saya pandang waktu memujuk diri saya ketika merasa konflik dan kecewa kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat belajar di Mesir waktu itu. Kata Ustaz, ada lima perkara saya perlu tahu sebelum ikut-ikut orang memilih faham hidup, tariqat dan sebagainya:

1)Tahu keperluan anda

2)Tahu kehidupan andaÉ

3) Tahu kemampuan anda

4) Tahu apa yang anda akan dapat

5)Tahu apa yang akan anda korbankan

Seminggu ini, saya terjumpa blog ustaz. Membacanya kembali membawa saya ke zaman persekolahan peringkat menengah. Zaman lurus, taat, bersungguh, tegas dengan diri. Melihat saya yang penuh azam, penuh disiplin dan tegas juga mendisiplinkan orang sehingga jadi kebencian orang. Zaman penuh nasihat, tazkirah, majlis ilmu. Zaman dikelilingi guru-guru yang sering membetulkan, memandu, menunjuk jalan.

Buat ustaz dan semua guru-guru saya, Jazakumullahu khairal jaza’. Saya sama sekali tidak terbalas jasa itu. Moga kalian dalam jagaan Tuhan dan diberkati-Nya. Sekarang, saya juga sedang meniti jalan yang sama, mengajar dan akan terus berazam untuk jadi pendidik yang terbaik. Terima Kasih!

Jemput baca artikel menarik di blog UFO-antaranya:

http://ustfuadosman.blogspot.com/2011/01/kerisauan-wanita-sedikit-pesanan.html

http://ustfuadosman.blogspot.com/search/label/Doa%20dan%20amalan

http://ustfuadosman.blogspot.com/search/label/EX-SMAKJ (Ex SMAKJ wajib baca)

BACA SELENGKAPNYA - Kenangan yang Mendidik
2

'Umar, Moga Dapat Bertemumu

Lama saya memendam mahu menulis tentang dia, seorang pemimpin ulung; Syaidina Umar al Khattab. Menulis sedikit, kemudian berhenti, Baru kali ini, saya benar-benar kuat azam setelah mengulit beberapa buku tentang beliau. Setiap kali membaca tentang beliau, saya jatuh cinta pada peribadinya. Teringin benar mahu melihat raut wajah dan perawakan sebenar penglima agung Islami ini.

Solat Witir

Pertama kali saya jatuh cinta, saat membaca tentang pendirian beliau dan Abu Bakar berhubung solat witir. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.wr bertanya kepada Abu Bakr, ‘Bilakah engkau berwitir?’ Jawab Abu Bakr, ‘Awal malam selepas solat Isya’. Soalan yang sama ditujukan kepada Umar. Umar menjawab, ‘Akhir malam.’ Maka baginda berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, bersikap berhati-hati (menjaga supaya tidak terlepas solat Witir setiap malam). Manakala engkau wahai Umar, kekal dengan kekuatan azammu (untuk berwitir akhir malam yang afdhal)’.

Saya pengkagum Abu Bakar, selalu mahu dekat dengan peribadinya, tapi saya juga mahu jadi Umar yang tegas, berdisiplin dan kuat azamnya. Kerana itu, saya berharap, kalau punya anak, saya mahu namakan dia Umar. Cuma saya takut, kalau anak saya jadi terlalu tegas tidak mengenal hikmah kerana saya bukan siapa-siapa yang punya kehebatan mencorak peribadi unggul antara tegas Umar dan hikmah Abu Bakr. Ah..cantiknya.

Jaulah Malam

Kemudian, saat membaca tentang jaulah malamnya memeriksa hal ehwal rakyat jelata. Tersentuh saat beliau berkata kepada pembantunya Asim yang ingin membantu beliau membawa karung gandum dan lelemak untuk diberikan kepada sang ibu yang merebus batu mengharap anak tertidur kerana menantikan makan malam yang tiada sebenarnya. Kata Umar, “apakah kamu mahu memikul dosa aku saat aku dihisab di hadapan Tuhan?” Kebetulan, saya waktu itu, baru selesai menemani teman mengajar kelas agama buat wanita gelandangan yang mengharap sesuap nasi dengan memperdagangkan tubuhnya..Kalau engkau masih hidup ya, Umar, pasti akan kau baling genggaman pasir ke muka-muka pembesar negara hari ini yang hidup megah memakai busana angkuh penguasa negara seperti mana yang kau lakukan pada para panglimamu yang berdiri megah berbusana mewah saat menyambutmu hadir menerima penyerahan Baitul Maqdis dari panglima Rom.

Ah, Umar, kalau mahu dihitung dan disifatkan satu persatu cerita tentangmu, pasti ada hati yang merintih merindui hadirnya insan sepertimu memimpin umat yang kalut dan leka dengan bayang-bayang gunung emas dan bukit harta yang disangka boleh membeli syurga.

Didik Rakyat

Umar, rajin berpagi-pagi mengunjungi rakyat yang memulai hari mencari rezeki. Lalu pada setiap orang yang ditemui, ditanyakan khabarnya. Apa khabar, kamu? Baik. Ditanya lagi, apa khabar, kamu? Baik. Diulang lagi soalan, apa khabar kamu? Alhamdulillah, saya baik. Nah, aku bertanya khabar semata-mata mahu mendengar kamu memuji Tuhan di permulaan harimu. Begitu, seorang pemimpin mendidik rakyat.

Al-Faruq

Rasulullah s.a.w menggelarnya al-Faruq selepas beliau bersikap tegas dalam menghakimi lelaki munafiq yang cuba mengelak daripada kesalahannya terhadap seorang Yahudi. Lelaki itu telah berjumpa dengan Rasulullah dan kebenaran berpihak kepada sang Yahudi. Tidak puas hati, beliau berjumpa pula dengan Abu Bakr. Apabila keputusan sekali lagi tidak berpihak kepadanya, beliau mengajak Yahudi tersebut bertemu Umardengan harapan keputusan akan memihak kepadanya. Lalu Yahudi tersebut menceritakan tentang perjalanan kes mereka. Umar lantas berkata, “tunggu sebentar sehingga aku keluar”. Beliau keluar dengan membawa sebilah pedang dan memukul lelaki munafiq itu. Kata Umar, beginilah hukumannya bagi mereka yang tidak redha dengan hukum Allah dan hukum nabi-Nya. Rasullullah berkata, anta al-Faruq. (engkaulah pemisah antara yang hak dan batil).

.

Syaitan Takut

Satu keistimewaan beliau, syaitan takut padanya. Kata Rasulullah, “Jika syaitan bertemu engkau di jalanan, maka dia akan mencari jalan lain.’ Hebat! Pastilah kerana kuatnya iman dalam diri sahabat Nabi ini. Kata Umar, “Siapa yang tidak mengenal Jahilliyyah, dia tidak kenal Islam.” Kerana, apabila Tuhan memberi hidayah pada mereka yang kafir atau jahil, mereka akan dapat membezakan kebaikan Islam berbanding lainnya dan benar-benar menghayati nikmat Islam yang diberi Allah. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Umar tentang zaman Jahiliyyahnya, “kadang-kadang kamu menyembah Tuhan yang dibuat daripada kurma dan kurma itu juga yang kamu makan apabila kamu lapar. Tidakkah kamu punya akal?” Jawab Umar, kami punya akal, tapi kami tidak dapat hidayah’.

Profil Umar

Meninggal dunia pada usia 65 tahun, beliau asalnya seorang pembesar Musyrikin yang masuk Islam pada usia 30 tahun berkat doa Nabi s.a.w dan mewakafkan seluruh 35 tahun baki usianya untuk Islam. Beliau merupakan orang kedua yang disayangi baginda di kalangan lelaki selepas Abu Bakr, juga antara sepuluh yang dijanjikan syurga. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang turun muwafaqah/ sesuai dengan pendapatnya atau situasi beliau (muwafaqah-maaf, saya blm jumpa terjemahan paling sesuai untuk maksud muwafaqah ini) antaranya tentang tawanan Badar(Al Anfal:67), ayat Hijab dsb.

Banyak juga pandangan dan ijtihad beliau yang menjadi panduan umat Islam selain merupakan rahmah kepada umat Islam. Antaranya cadangan beliau berkaian pengumpulan Al Quran kepada Abu Bakr berikutan kematian lebih kurang 70 sahabat pada peperangan Yamamah. Himpunan ayat-ayat Al Quran itulah kemudiannya menjadi asas kepada penulisan dan pembukuan al Quran pada zaman Utman. Justeru, jelas sifatnya sebagai seorang yang sensitive dengan hal-hal yang berkaitan dengan survival Islam

Noktah. Sehingga saya bertemu banyak lagi perkara yang menarik untuk dikongsikan tentang Umar. Meminjam kata-kata penulis “عمر بن الخطاب في الإسلام”, Dr Muhd Anis ‘Ubadah الله يا عمر أى رجل كنت يا ابن الخطاب (Allah.. Ya, Umar, lelaki bagaimanakah kamu, wahai Ibn al Khattab).

Baca lagi tentang Umar di:http://saifulislam.com/6164

Rujukan: عمر بن الخطاب في الإسلام, (Dr Muhd Anis ‘Ubadah), ‘Ala Khuto al-Habib (‘Amr Khaled), Sejarah dan Keutamaan Tiga Tanah Suci, (Muhd Isa Selamat), Tafsir Ibn Kathir , Shohih Bukhari dan Sunan Ibn Majah.




BACA SELENGKAPNYA - 'Umar, Moga Dapat Bertemumu
4

Erti hidup pada memberi

Assalamualaikum, lama benar 'rumah' saya ini ditinggal sendiri. Sudah bersawang rasanya. Bukan kerana tidak punya masa, tapi idea tak kunjung tiba. Benarlah, menulis kadang-kadang adalah cerminan diri. Waktu saya mula-mula menulis blog, ia menjadi cara terbaik untuk meluahkan rasa atau berkongsi cerita. Hingga kadang-kadang saya tidak senang untuk buat kerja lain selagi tidak menulis.

Tapi setahun dua ini situasinya berubah. Bukanlah kerana saya lebih pentingkan 'rumah' lain yang mahu dibina tetapi segalanya bermula bila saya merasakan masa saya untuk tesis akan terbuang jika saya mememerah otak untuk menulis blog. Tapi hari ini saya kembali menulis, berharap agar semangat saya pulih untuk terus menulis, bukan terus bahkan pecut untuk menulis tesis. Mahu meminjam semangat ini.

Saya mahu kembali seperti dulu. Menulis sebenarnya menjadikan saya lebih kenal diri, lebih terancang kerana idea dan perancangan akan mengalir sedikit demi sedikit waktu saya menulis. Kadang-kadang, masalah saya selesai dengan menulis kerana ia membuka ruang fikir, monolog dalam diri yang menghasilkan pencerahan yang memuaskan. Tapi skill itu sekarang, kerana sudah lama tidak diasah ia seakan tumpul. Memang ada banyak yang boleh saya olah menjadi cerita tapi seperti kata saya, ada bahagian dalam diri saya yang merajuk kerana tidak dipedulikan.

Semalam, sebelum tidur, saya merenung ke dalam diri. Serasa saya sudah tidak 'seproduktif' dulu lagi. Mungkin kerana saya terlalu menyekat diri saya dengan tesis. Dan apabila saya tidak rancak dengan tesis, segalanya juga jadi hambar. Saya mahu cepat-cepat siap. Kerana ada banyak tugas menanti usai siap. Saya ada perancangan lain. Saya juga fikir, ada banyak perkara yang boleh saya buat kalau saya tidak terlalu obses dengan tesis sedangkan perkembangan tesis saya agak mengecewakan terutamanyawaktu merantau di utara beberapa bulan dulu. Pulang ke UIA, saya segar kembali. Tapi selesai satu topik, saya merayau lagi tidak ketemu titik berhenti untuk memulakan topik yang baru.

Begitu, menulis perlukan kesungguhan. Saya bukan orang yang boleh menulis secara cepat kerana mahu cepat selesai, mahu segera konvo. Ya, itu salah satu. Tapi kerana saya mahu tenang-tenang menulis dan'enjoy' membaca, justeru saya menjadi gagal untuk menulis dalam waktu kecederaan. Tapi hari ini, saya mahu memaksa diri untuk kembali ligat kerana saya tahu saya mampu dan boleh bahkan lebih dari itu. InsyaAllah. Doakan saya. Doa saya untuk anda juga. Kerana apabila kita berjaya menyelesaikan masalah kita, ada banyak masalah orang lain yang kita boleh tolong selesaikan, ada banyak lagi yang boleh disumbang. Terkongkong dalam diri sendiri, selain ia merugikan, ia menjadikan hidup tawar dan hambar. Bukankan hidup itu lebih bererti apabila kita mampu memberi? (kredit untuk Abu Saif yang banyak mengajar tentang hidup utk memberi)
BACA SELENGKAPNYA - Erti hidup pada memberi
4

Lintasan Fikiran di Zaman Ujian

Sekadar berkongsi sebuah buku yang baik untuk diselak baca waktu-waktu menanti kawan atau LRT atau di waktu santai. Tajuk buku ini mungkin agak berat tetapi buku ini disusun seperti pepatah atau puisi-puisi pendek. Sesuai juga untuk memujuk hati terhadap kekecewaan kekecewaan terhadap perkara-perkara harian yang berlaku di sekeliling kita. Buku ini adalah lintasan-lintasan fikiran, tanggapan- tanggapan atau secara mudahnya respon penulis terhadap perkara di sekitarnya.

Hasil karya Yaman Siba'ii, anak kepada tokoh tidak asing kepada dunia Islam, Mustafa Siba'ii terbitan Maktabah Usamah, Beirut. Tulisan beliau mungkin hasil pengamatan dan pengalaman hidup berdagang di tempat orang, Spain. Sebelum ini saya pernah membaca buku Mustafa Siba'ii yang tidak jauh bezanya dengan metod buku ini. Menarik juga sebagai bahan bacaan ringan, tajuknya هكذا علمتني الحياة ..(Begini Kehidupan Mengajarku).


Saya kongsikan beberapa bait yang menarik perhatian saya dari buku Yaman Siba'ii ini. Tajuk buku ini خواطر في زمن المحنة (Lintasan fikiran di Zaman Ujian- terjemahan saya, mungkin ada terjemahan lain yg lbh tepat)

الأمل الذي لا يقترن بالعمل الموجه الجاد هو بناء في عالم مخدر وسعادة آنية هي في حقيقتها شقاء مرير ووسادة للأحلام ندرك بعد اليقظة أنها كانت ملأى بالأشواك.
-Impian yang tidak disertai dengan usaha yang bersungguh adalah binaan di alam khayalan dan kebahagiaan sementara yang pada hakikatnya adalah kesengsaraan yang pahit dan mimpi. setelah tersedar, ia hanyalah sesuatu yang penuh dengan duri.

كل دمعة لها نهاية ونهاية الدمعة بسمة وكل بسمة لها نهاية ونهاية البسمة دمعة. والحياة بداية ونهاية وبسمة ودمعة، فلا تفرح كثيرا ولا تحزن كثيرا، اذا أصابتك احداهما فنصيبك من الأخرى مخبوء في صفحة القدر...
- Setiap tangisan ada kesudahannya , dan kesudahan tangisan adalah senyuman. setiap senyuman juga ada kesudahannya. dan kesudahan sebuah senyuman adalah tangisan. kehidupan punya permulaan dan kesudahan; senyuman dan tangisan. Justeru, jangan terlalu gembira dan jangan terlalu sedih. Jika kamu mengalami salah satu daripadanya, maka takdir kamu bagi yang satu lagi tersimpan dalm qada' qadar Tuhan.


لا تدع اليأس يستولي عليك، انظر الى حيث تشرق الشمس كل فجر جديد لتتعلم الدرس الذي أراد الله للناس أن يتعلموه.. ان الغروب لا يحول دون الشروق مرة أخرى في كل صبح جديد..
-Jangan biarkan putus asa menguasai dirimu. Lihatlah kepada matahari yang terbit saban pagi untuk mengajar manusia sesuatu yang Allah ingin kita mempelajarinya. Sesungguhnya matahari tidak akan terbenam melainkan akan terbit semula setiap pagi yang baru.

الألم يفجر الطاقات للإبداع ، والإبداع يثير الدهشة والتساؤل ، والتـساؤل يهدي إلى الإيمان ، ومن الايمان تـنـبـثـق الأخلاق ونـعـرف الحب ، وبالحب نبني الحياة ، وفي الحياة نتعلم الألم !
- Keperitan melahirkan usaha ke arah kreativiti, Kreativiti melahirkan keterujaan dan persoalan. Persoalan membawa kepada keimanan. Daripada iman lahirlah akhlak dan menjadikan kita mengenal cinta. Daripada cinta, kita bina kehidupan. Dan daripada kehidupan kita belajar tentang keperitan.

BACA SELENGKAPNYA - Lintasan Fikiran di Zaman Ujian
2

Teruslah Berlari!

Salam Aidilfitri.Minal ‘aidin wal faizin. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan laku. Moga hari raya ini menambah ukuwah, menautkan hati-hati yang dingin dan menjernihkan segala yang keruh.

Lama tidak berblog. Menggunakan kesempatan menunggu bas ke Perlis jam 11 ini, hati terniat mahu mengetik sesuatu.Saya sudah tiba sejak jam 6.30 petang dari Johor. Bercinta rasanya menunggu sehingga hampir tengah malam. Tiket kehabisan. Saya yang lambat, alpa yang saya sudah berpindah jauh ke utara tanah air. Bas dari selatan ke utara tidak banyak dari tempat saya.

Membaca buku Transformasi Ramadan dan Rindu Bau Pohon Tin karya Abu Saif menggamit rindu saya pada kelas-kelas pengajian dan buku-buku di perpustakaan UIA. Dua minggu bercuti cukup memisahkan saya dari dunia penulisan tesis yang masih berbaki minta disiapkan. Waktu mencium tangan emak tadi, emak sudah member amarannya. Siapkan tesis baru kahwin! Saya menunjuk sengih. InsyaAllah. Mana-mana yang dulu mak ya.

Akhir-akhir ini ayah menjadi peminat Saifulislam yang setia. Satu demi satu buku karya beliau dihadamnya dan dikongsi bersama kami anak-anak. Almaklum, anak-anak masing sedang menuju dewasa, sedang mengintai-ngintai untuk membuka lembaran hidup baru berdua. Lucunya, ayah yang membaca, bercerita kembali kepada kami tentang adab pergaulan, tentang pertunangan, tentang kehidupan. Patutnya anak-anak ini yang menghadap. Saya memang sudah lama menyelesaikan Aku Terima NIkahnya 1. ATN 2, hanya sempat dibaca lompat-lompat. Alhamdulillah ayah beli buku selainnya, dapatlah saya tumpang baca. Menarik apa yang dipetik oleh Saifulislam tentang rusa dan singa. Hidup, kita harus terus berlari dan berlari. Rusa berlari supaya dia akan terus hidup dan tidak menjadi mangsa sang singa. Singa juga terus berlari untuk hidup, mendapatkan makanan atau dia harus mati kelaparan. Memang rezeki itu sudah ditetapkan tapi Tuhan menetapkan ia dengan usaha.
.
Lalu kehidupan,biar perit harus tetap diteruskan kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Saya mendengar dan menghadapi mereka-mereka yang kecewa dengan hidup, bertanya tentang kasih sayang Tuhan, putus harapan dan sebagainya. Memang berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Tapi sahabat, adik-adik, putus asa terhadap RAHMAT Allah itu tidak patut ada dalam kamus hidup kita. Hari ini Allah uji kita, siapa tahu ujian itulah tiket untuk ke syurga kalau kita sabar dan bijak menghadapinya. Jangan dikira ujian dan musibah sebagai pengabaian Tuhan pada kita. Ujian adalah peringatan untuk kita kembali pada Dia. Berserah penuh pada-Nya.

Kita tidak masuk syurga dengan amalan kita. Kerana amalan biar sebanyak mana belum tentu dapat membayar setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, setiap kerlipan mata. Nikmat yang melimpah. Justeru, jangan cepat menyoal Tuhan kenapa kebaikan yang kita lakukan tidak dibalas segera. Kenapa pertolongan Tuhan tidak datang saat kita merintih memerlukan. YAKINLAH, PERCAYALAH bahawa janji Allah itu benar. Segala yang baik pasti dibalas baik dan yang buruk pasti mendapat balasan. Cuma cepat atau lambat sahaja. Atau syurga neraka kesudahannya.

Rahmat Tuhan itu melangit luasnya. Jangan sesekali putus harap padanya. Saya berazam dalam diri untuk tetap mengutus doa saya buat adik-adik, sahabat serta anak-anak didik saya agar tetap kuat dan tabah. Saya mungkin tidak mampu berkongsi beban itu. Tapi saya percaya pada kuasa Allah yang mampu meringankan bahkan menghilangkan pedih dan susah yang ditanggung. Kalau Allah mahu menghilangkan serta merta sakit dan susah nabi Ayyub serta merta, bukan mustahil untuk Dia melakukan yang sama pada kita. Tidak ada yang mustahil dalam kuasa Allah. PERCAYALAH!

Bersangka baiklah dalam urusan Tuhanmu, dik.

Doa pelindung diri daripada godaan. Dibaca oleh nabi kepada seorang lelaki yang datang meminta izin untuk berzina. Elok dibaca oleh ibubapa kepada anak-anak.

Untuk anak lelaki:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهُ وأََحْسِنْ فَرْجَهُ وَاغْفِرْ لَهُ

Untuk anak perempuan:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهَا وأََحْسِنْ فَرْجَهَا وَاغْفِرْ لَهَا

Untuk diri sendiri:
اللهم طَهّرْ قَلْبِي وأََحْسِنْ فَرْجِي وَاغْفِرْ لِي


BACA SELENGKAPNYA - Teruslah Berlari!
4

Berdikari Mencari Ilmu

Saya sukakan wajah-wajah itu. Wajah-wajah yang dahagakan ilmu, wajah-wajah yang mendengar saya dengan penuh minat. Wajah-wajah yang menanti saya setiap selesai kelas dengan pelbagai soalan dari soal hukum sampai konspirasi dunia. Biarpun pelajar saya pelbagai karenahnya, pelbagai wajahnya, dari yang menunjuk mata kuyu atau terus melayan mengantuk atau yang ‘mengajar’ sama waktu mengajar, cukuplah beberapa orang mengubati penat dan marah saya pada yang lain.

Menjadi ustazah, anda harus jadi semua. Walaupun anda dalam bidang Quran, anda kena mahir bidang fiqh, kena tahu bidang muamalah, kena tahu bidang stategik dan politik dunia, kena mahir bidang perhubungan awam, kena jadi doctor, kena semua. Kerana ustaz ustazah adalah seperti kaunter pertanyaan, dihumbankan segala soalan kepada mereka tanpa mengira bidang pengkhususan mereka. Sedang doctor sendiri dihormati mengikut pengkhususan, ditanya mengikut organ badang yang dia pakar tetapi ustaz ustazah harus tahu menjawab semua. Kalau tak tahu itu belum layak jadi ustaz ustazah.

Saya ingat, Tok Mod (Prof Mahmud Zuhdi) sangat lantang dlm soal pengkhususan ini dan mengingatkan orang agama supaya berhati-hati member. Jangan kerana kita ustaz ustazah, maka kita terima semua tajuk yang diminta kita sampaikan. Salah. Salah hukumnya bercakap pada bidang yang kita tidak tahu. Tapi setengah orang membantah kerana pada mereka , mereka belajar semua. Tapi pada Tok Mod, ia salah. Ini yang menjadikan orang memandang lekeh kepada ustaz ustazah kerana bercakap asal boleh. Kadang-kadang menjadi boros mengeluarkan hukum.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Tok Mod. Saya akui itu. Saya dalam bidang Quran, saya tidak belajar mendalam bidang fiqh. Tahu yang asas dan sedikit tentang perselisihan ulama’ itu ya, tapi untuk pergi jauh bercakap dalam bidang itu, saya harus terus belajar. Peluang mengajar adalah peluang untuk terus belajar. Saya harus lebih rajin mencari jawapan biarpun di luar bidang saya. Murid saya mahu tahu. Saya mungkin tidak mampu untuk memberi tahu, tapi saya harus melorongkan jalan supaya mereka mampu untuk menjadi tahu.

Pada saya, ilmu ini ada kuncinya. Justeru, kalau berjumpa kunci pintu ke khazanah ilmu maka,seseorang itu akan terus terdorong untuk belajar dan belajar. Kadang-kadang kita harus mengembara jauh untuk mencari kunci atau mengetahui tempat tersembunyinya kunci yang sebenarnya ada di depan mata. Saya kira, masalah kebanyakkan kita adalah kita tidak sampai kepada tahap berdikari dalam mencari ilmu. Guru saya, Us Anuar Ridwan pernah menyebut ini. Zaman universiti adalah zaman belajar dan menyediakan diri untuk jadi ‘berdikari’ dalam menuntut ilmu. Belajar memang perlu berguru. Tapi sifat berdikari dlam mencari ilmu itu yang akan menyebabkan kita mencari buku dan mencari guru bukan menunggu guru datang kepada kita atau buku disuguhkan kepada kita baru kita mahu mencari ilmu.

Selamat datang untuk diri ke dunia yang saya nantikan selama ini. Saya menjadi budak kecil, budak baru dalam dunia yang panjang likunya. Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong tunjukkan. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.

BACA SELENGKAPNYA - Berdikari Mencari Ilmu
3

An-Nur; anjuran memudahkan perkahwinan

Terlalu lama saya ‘menjadi malas’ dan beralasan untuk menulis dan berkongsi sesuatu di blog ini. Hari ini saya memaksa kembali diri saya. Kadang-kadang memang sesuatu yang baik itu harus dipaksa terutamanya bila diri menjadi leka dan selesa.

Rejab sudah tiba memasuki ruang hidup menyampaikan salam Ramadan yang menunggu bulan berlalu buat bertemu mereka yang rindu menunggu. Saya masih terkapai-kapai berazam dan mengatur kembali kehidupan sebagai persediaan menyambut tetamu istimewa. Kehidupan kadang-kadang sangat menyibukkan dan melekakan sehingga kita tak mampu menekan butang ‘pause’ dan berhenti seketika melihat hidup yang sedang dilalui. Allahumma bariklana fi Rejab wa ballighna Ramadan.

Sekadar berkongsi bagi menyemarak semangat saya untuk terus menulis. Semalam, saya meneruskan kuliah tafsir Surah An-Nur di Bank negara yang sudah hampir separuh disudahkan. Surah An-Nur memang surah kecintaan saya. Saya jatuh cinta dulu waktu mendengar kata seorang guru saya tentang pesan Umar kepada rakyat Kufah,علموا نساءَكم سورة النور, Ajari kaum wanita Surah An-nur. Kenapa perempuan harus belajar dan tahu tentang surah ini? Kerana ia banyak berbicara tentang kehormatan dan maruah melalui hukum dan adab terutamanya dalam rumahtangga. Bukankah perempuan itu pendidik keluarga? Kata Ahmad Syauqi,
الام مدرسه اذا اعددتها اعدتها اعدت شعب طيب الاعراق
"Ibu adalah sekolah, jika engkau mempersiapkannya, berarti engkau mempersiapkan bangsa yang berketurunan baik." Tapi lelaki jangan ambil mudah pesan ini. Bukankan Umar berpesan kepada lelaki untuk mengajar isteri dan anak-anak perempuan mereka? Bukankan orang yang mahu mengajar itu harus dahulu faham dan menguasai apa yang mahu diajarkan?

Kata Syed Qutb, paksi perbicaraan surah ini adalah pendidikan melalui saranan-saranan KERAS seperti hukum rejam, qazaf, li'an dan saranan HALUS seperti adab-adab selain menghubungkan hati dengan bukti kekuasaan Allah di alam dan dalam kehidupn manusia. Gabungan didikan antara keras dan lembut ini penting dalam mendidik hati, menggerakkan perasaan juga meninggikan ukuran akhlak dan akhirnya menghubungkan hati dengan nur/hidayah Allah.

Secara umumnya surah ini menyebut tentang adab-adab kemasyarakatan yang wajib diukuti seperti adab masuk rumah, tundukkan pandangan, jaga kehormatan, mengelakkan pergaulan bebas yang mengingatkan tentang pentingnya istiqamah terhadap syariah Allah dan menjaga dari faktor-faktor yang membawa kepada keretakan dan kerosakan akhlak yang membinasakan masyarakat dan ummah. Surah ini dimulakan dengan ayat tentang hukuman sebat terhadap orang bujang yang berzina,diikuti tentang hukuman menuduh orang baik-baik berzina, li'an bagi suami yang menuduh isteri berzina, hadith al-Ifk (fitnah terhadap Aisyah r.a.h) kemudian tentang adab.

Surah ini juga menyeru kepada memudahkan perkahwinan selepas anjuran terhadap jaga pandangan dan kehormatan. Semalam, saya sampai kepada ayat tentang anjuran mengahwinkan orang-orang bujang. Susah juga saya menyusun ayat apabila masuk kepada isu perkahwinan kerana pendengar saya lebih arif dan berpengalaman tentang itu. Tapi saya juga ada beberapa isu sebagai orang bujang yang perlu dan mahu saya kongsikan. Rata-rata kita mengetahui tentang kesukaran berkahwin disebabkan mahar yang tinggi atau syarat-syarat tertentu yang menyusahkan. Kebanyakkan perkahwinan hari ini adalah atas perkenalan sendiri antara anak-anak. Campurtangan dan pilihan ibu bapa sudah makin berkurangan.

Saya kira ibubapa harus kembali masuk campur dan prihatin soal mengahwinkan anak-anak kerana ini adalah tanggungjawab mereka. Bapa khususnya. Mungkin sukar untuk mencari bapa seperti Syeikh Madyan yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa, pemuda tanpa harta, sendiri, pelarian dalam ketakutan dengan syarat Musa berkerja dengannya selama lapan atau sepuluh tahun. Dia adalah bapa yang bijak membaca suasana juga memahami bahasa anak gadisnya. Tapi ya, dia tetap berhati-hati. Musa diterima kerana cukup syarat kepimpinanannya; kuat dan amanah. Kuat; mampu menyara keluarga, amanah; mampu menjaga kehormatan dan memelihara amanah rumahtangga.
Anak-anak, dalam usia muda kadang-kadang terlalu banyak bicara cintanya sehingga keluar dari batasnya atau terlalu bayak fikirnya sehingga tak terjangkau perkahwinan itu dengan kadar segera. Ibubapalah orang yang harus bijak membaca perubahan anak-anak dan menilai tahap perlu tidaknya anak-anak berumahtangga. Kerana silap berhubungan, anak-anak akan jadi mangsa syaitan dan nafsu yang tak pilih imam atau pemuda jalanan. Justeru, jalan-jalan menutup pintu maksiat harus diusahakan dan dimudahkan. Saya tak nak bercakap panjang tentang wang hantaran dan seribu satu syarat yang pernah saya dengar malah akhir-akhir ini ada syarat yang sangat mengejutkan saya. Saya juga pernah membentang syarat tapi saya kira itu masih di lingkungan yang masuk akal dan lurus dengan syariah.

Kembali, saya kira ibubapa harus kembali masuk campur terutamnya dengan situasi sekarang, peningkatan hubungan luar nikah sehingga melahirkan zuriat yang tak diingini, peningkatan jumlah mereka yang tidak berkahwin, hilang kepercayaan terhadap institusi perkahwinan dan lainnya. Imam Bukhari menamakan satu bab dalam Sahihnya, bab lelaki menawarkan anak perempuannya atau saudara perempuannya kepada lelaki soleh seperti yang dilakukan Umar terhadap anaknya Hafsah juga bab perempuan menawarkan dirinya kepada lelaki soleh seperti tawaran seorang perempuan terhadap Rasulullah. Ia sunnah yang termaktub dalam sirah.
Anda mungkin bertanya saya semula, masalahnya bagaimana keadaannya ibubapa hari ini. Apakah mereka cukup memahami soal ini dan punya kriteria pemilihan yang selaras dengan syariah? Tak mengapa, kalau begitu mereka, maka berazamlah kita untuk jadi ibubapa yang seperti dituntut dalam Islam. Ibubapa juga mungkin bertanya, bagaimana anak-anak hari ini, mereka tak mungkin menerima campurtangan ibubapa, pilihan ibubapa. Kalau tanya saya, saya juga sukar untuk mengatakan ya secara spontan. Zaman berubah. Ya zaman berubah tapi kita tetap tak boleh berubah mengikut zaman kan?
Alhamdulillah, saya masih bertemu ibubapa yang bagus faham agamanya dalam menangani soal perkahwinan.
Hati saya tersentuh apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan yang agak sukar kondisinya untuk diterima oleh ibubapa tetapi bapa masih lurus fikirnya. Katanya, dalam Islam, apabila anak perempuan minta berkahwin, maka si bapa harus menyegerakan perkahwinan itu. Maka kita redha walaupun situasinya sukar diterima. Tahniah! Beberapa perkara harus disegerakan seperti dalam hadis; bayar hutang, solat, uruskan jenazah dan kahwinkan anak.
Saya sebutkan juga dalam kuliah semalam, gabungan pesanan teman-teman saya saat kami 'sharing moment' sesekali juga pesan dari guru-guru saya. Perkahwinan adalah ujian. Hidup sendirian juga ujian. Tujuan hidup adalah sama: Redha Allah. Kerana hanya dengan redha dan rahmat Allah kita mampu beroleh syurga. Justeru bukan senang membeli syurga. Harganya adalah kesabaran melayari rumahtangga perkahwinan bagi pasangan berkahwin atau kesabaran menghadapi mehnah bersendirian bagi yang bujang. Memahami itu, saya mengakui, benar, syurga itu mahal dan hanya yang sabar akan berjaya mencapai tujuan.
Ayuh kita gali lagi khazanah ilmu mencari jawapan kepada masalah-masalah kita hari ini yang kebanyakkan bermula dari kita sendiri.
BACA SELENGKAPNYA - An-Nur; anjuran memudahkan perkahwinan
0

Khas Untuk Emak

Buat Bonda tercinta, Puan Hjh Ramlah Zainal sempena ulangtahun kelahiran ke-54
Bunda...
Selalu ada
Sentiasa setia
Tetap sabar
Tenang mendengar

Juga terkadang
Ketara risau
Meluah amarah
Memanjang leter
Atau senyap
Membawa rajuk

Bunda
Ketahuilah
Cinta tak pernah pudar
Sayang tidakkan hilang
Doa sentiasa dipanjatkan


Bunda
Kalau pernah hatimu terguris
Kalau pernah air matamu menitis
Kerana aku yang bernama anak
Terkadang lupa menyusun kata
Melurus bicara atau sesekali menunjuk rasa
Maafkan…maafkan …maafkan

Bunda
Masih jauh perjalanan anakanda
Mohon…mohon...mohon
Doa dan pengertian
Izinkan dan redhailah langkah ini

Bunda
Atas segala yang tak mampu
ditulis dengan pena
Atau ditimbang dengan neraca
TERIMA KASIH!
BACA SELENGKAPNYA - Khas Untuk Emak
Back to Top