2

The Freedom Writers

Berapa yang harus anda bayar untuk berasa dikasihi? Berasa dihargai, berasa terhormat dan berasa punya harga diri? Terkadang kasih sayang itu terlalu mahal sehingga kita terpaksa membayar dengan apa harga sekalipun sehingga dengan nyawa. Benarkah? Saya belajar, untuk menerima, kita harus memberi. Tapi itu terkadang sukar amat untuk dilakukan.

Saya akur, saya pernah terlalu kedekut dengan anugerah rahmah dan kasih-Nya sehingga saya tidak mahu berkongsi selain dengan keluarga sendiri. Sehinggalah saya diajar dan dididik menghargai orang lain atas rasa ukhuwah, cinta sesama saudara bukan kerana ia semata tanggungjawab; kerana saya ketua, dewasa, yang tua, maka saya harus merai mereka di bawah tanggungjawab saya. Itu saya belajar waktu di hujung tingkatan empat, waktu dihantar berkampung menghabiskan hampir setiap malam di tengah hutan gelap, menyerah segala pada Tuhan pemilik alam, belajar berkawan dan berbicara dengan alam dalam pekat malam, bersujud mengucap syukur dalam air kali yang mengalir tenang kerana mengizinkan saya mengecap nikmat-Nya di dunia fana ini.

Ia suatu proses. Waktu saya mencabar dan memaksa diri menjadi jurulatih PLKN, juga saya banyak belajar daripada pelatih-pelatih yang ramai juga yang tidak lancar membaca dalam usia 18 tahun. Tapi mereka banyak membaca dan belajar daripada kehidupan. Bezanya, setengah mereka tidak dipandu untuk memahami peta hidup dengan sebaiknya. Petunjuk dan panduan itu tidak ada atau barangkali dipandang sepi. Lalu yang mereka perlu adalah pembimbing buat menunjuk jalan dan keyakinan yang cahaya itu sentiasa ada untuk orang yang mahu dan berusaha.

Pelatih saya, hari-hari awal berkata kepada saya waktu saya menegur sikapnya: Lu sapa?

Seorang anak Ah Long kata kawan-kawannya. Bakal mewarisi ayahnya. Yang seorang lagi berkata: Saya tak percaya sape-sape kat sini. Seorang pelatih Melayu pula bertanya, Cikgu ingat kita boleh percaya ke orang Cina ni? Sering juga dalam kelas, saya harus berdiri antara dua lelaki berbadan besar, mendepangkan tangan dan bercakap dengan sepenuh nafas, tenang dan tegas: Duduk! sebelum mereka memulakan perang yang lebih besar, antara kaum terkadang. Dan banyak cerita lain: “Saya benci bapa saya.” “Cikgu nak saya layan cikgu?” Tanya seorang pelatih lelaki. (Allah..Soalan apa ini? Mahu tercabut kepala saya mendengarnya) “Mak ayah saya tak kisah pun saya bawa perempuan balik rumah.” “Saya dah berhenti belajar masa darjah enam. Tumbuk mata kawan.” (Saya lupa apa yang berlaku pada mata kawannya). Minggu pertama saya menangis, mahu berhenti tapikan saya yang mencabar diri, mengapa mahu berpaling lari. Kalau pun tidak banyak, pasti sedikit kehadiran saya sepatutnya mampu memberi kesan.

Suatu yang saya banggakan apabila suara-suara di atas tersenyum gembira apabila kami memenangi tmpt ke-2 atau ke-3, saya terlupa, pertandingan antara kelas di akhir sesi dengan drama yang saya arahkan tentang Dumpling dan sejarahnya pada masyarakat Cina. Tak sangka, kata mereka. Ya, bukan senang menghimpunkan manusia pelbagai karenah buat menghasilkan satu produksi kecil. Dan saya minta mereka menulis sesuatu untuk saya dan Cikgu Shah yang sekali mengajar bersama saya. Saya benar-benar menghargai catatan mereka. “Cikgu, saya sudah boleh percayakan kawan-kawan.” Terima kasih kerana menjadi ceiceh( kakak) saya.” “Cikgu, saya akan cuba ubah hidup saya.” Saya akan rajin sembahyang.”

Menonton Freedom Writers mengingatkan saya pada semua ini. Sebuah filem yang diangkat dari kisah benar yang dibukukan; The Freedom Writers Diary (1999) karya Erin Gruwell. Saya baru berkesempatan menontonnya semalam walau sudah lama dicadangkan oleh seorang teman dan saya kira filem itu sudah lama. Cerita berkisar tentang seorang guru baru yang ditugaskan mengajar pelajar pelbagai bangsa di sebuah sekolah di Amerika. Kebanyakkan pelajar adalah bangsa African-Amerika dan dari bangsa selain kulit putih. Filem ini cuba menggambarkan konflik dalam setiap diri pelajar yang berdepan dengan masalah kehidupan ‘geng’ dan keganasannya juga masalah perkauman. Melihat penindasan, keganasan dan kematian adalah lumrah untuk pelajar ini. Setiap hari mereka harus bersedia dengan sesuatu yang tidak dijangka. Justeru, setiap kelas, guru tersebut sering berdepan masalah pelajar bergaduh sesama sendiri apabila sesuatu isu sensitif dibangkitkan.

Tekanan dalam diri ini akhirnya perlahan-lahan dirungkai oleh Mis G, guru muda apabila dia mengarahkan setiap pelajar menulis diari masing-masing setiap hari dan beliau hanya akan membacanya sekiranya dibenarkan oleh pelajar tersebut. Kelas itu kemudiannya bertukar menjadi sebuah keluarga di mana mereka merasa dihargai dan beroleh kekuatan buat menyulam harapan melihat esok secara positif. Catatan diari mereka akhirnya dibukukan.

Mungkin ada sisi kurang menarik tentang filem ini apabila ia seakan cuba meraih simpati pada Holocaust yang berlaku pada Yahudi. Ya, yang kejam itu tetap kejam. Nazi memang tidak boleh dimaafkan atas kezalimannya. Tapi, mengingati bagaimana Yahudi, Israel memperlakukan Palestin tetap suatu yang menyakitkan untuk saya menerima propaganda berterusan Yahudi tentang Holocaust dalam filem ini.

Apa pun, saya mahu kongsikan beberapa dialog menarik:

Marcus: I’ve never had a hero before. Buy you are my hero.
Mies Giep: No. No, young man. I’m not the hero. I did what I had to do, because it was the right thing to do. That is all. You know, we are all ordinary people. But even an ordinary secretary or a housewife or a teenager, can within their own small ways, turn on a small light in a dark room, ya? You are the heroes. You are heroes every day.
Guru tersebut, dalam realitinya; Erin Gruwell dan pelajarnya kemudiannya menubuhkan The Freedom Writers Foundation sebagai dedikasi untuk mengembangkan kejayaan bilik 203(kelas mereka) di dalam proses pembelajaran di bilik darjah ke seluruh Negara.

Guru-bukanlah kerjaya pilihan saya. Saya menangis waktu diterima mengajar di Al-Amin dulu. (Dapat kerja pun nangis…) Saya memaksa diri. Tapi hari demi hari saya melihat potensi saya berkembang ke bidang itu. Mungkin saya lebih suka menukarnya kepada istilah pendidik untuk jadi lebih umum tetapi lebih bermakna. Emak dan ayah saya, kedua-duanya adalah guru. Saya juga pernah menjadi guru hampir dua tahun. Saya masih berfikir.., mampukah saya bersabar menjadi menjadi seorang pendidik dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pilihan dan tumpuan hidup saya?
BACA SELENGKAPNYA - The Freedom Writers
2

Home Sweet Home

Asyik ya Kak, cuti? Oh, tentu. Pulang ke pangkuan keluarga memang sesuatu yang membahagiakan walau saya membawa sedikit resah hati . Risaukan tajuk disertasi yang entah diterima atau tidak dalam mesyuarat lajnah minggu depan juga bimbangkan keputusan peperiksaan. Kata Dr Sohirin, guru Manahij Mufassirin saya waktu saya mengadu perihal kebimbangan saya pada subjek itu, syafaat itu hanya di akhirat, Maryam. Doa sahajalah. Moga ada rahmat Allah untuk awak. Berdoalah.

Lambat-lambat saya keluar, sedar… yang saya harus reda menerima apa sahaja keputusannya nanti. Ini bukan adobe photoshop, words; kesalahan dimaafkan. Undo sahaja. Ya, berdoa, berdoa juga.Saya harus bersedia secara mentalnya. Ini satu kelemahan saya. Kegagalan adalah musuh terbesar seorang yang punya minda perfectionist. Saya ingat bagaimana saya berkurung hampir dua minggu waktu di UM dahulu menerima kegagalan saya dalam satu subjek. Yang lebih menyayat, beberapa hari sebelum peperiksaan, sayalah yang membantu menerangkan subjek itu pada kawan-kawan. Begitu Tuhan mengatur hidup, mengajar kita manis pahit, masam masin kehidupan, tinggi rendah langit, putaran roda dan segalanya.

Hidup inikan fitnah. Apa mampu saya bersabar untuk jadi lebih kuat? To be a world-class player, takkan cabarannya sedikit cuma. Sekali tendang bola sudah masuk gol. Tiada halangan. Tak mungkinkan.

Kembali ke rumah. Emak menyambut saya dengan ikan keli masak cili padi. Aduh, saya makan bertambah. Adu saya pada emak: “Kak Uda dah lama tak makan nasi selera macam ni.” Memang selera saya hilang sama sekali pada bulan peperiksaan. Stress barangkali walaupun secara emosinya saya rasa saya stabil. Tapi badan saya menunjukkan tanda-tanda memberontak terhadap jadual regim saya. Ayah pula waktu mengambil saya di pekan, awal-awal sudah bertanya bagaimana mahu menyediakan roti bakar. Kami singgah membeli butter dan lada hitam. Memang kegemaran saya makan roti disapu butter, ditambah sedikit gula, lada hitam dan yang penting hirisan buah zaitun. Kemudian bakar. Rasanya memang sedikit pelik bagi yang tak biasa dengan zaitun. Tapi saya galakkan anda membiasakan diri dengan zaitun teutamanya orang perempuan. Ia anti kanser yang baik. Boleh dibeli di kedai-kedai arab. Minyak zaitun juga baik. Saya cuba juga mengambilnya sebagai makanan tambahan selain untuk rambut dan kulit. Cubalah!

Ada pelbagai barang di peti sejuk untuk dimasak. Tapi saya rindukan adik-beradik saya yang lain. Terutamanya adik-adik lelaki yang kuat makan. Cuti kami tidak serentak. Saya terbiasa hidup meriah. Terasa sunyi sekadar ditemani dua adik yang masih di sekolah rendah.

Saya ikut emak melawat temannya yang lumpuh separuh badan. Bermula dengan kanser payudara, ia merebak ke tulang. Dalam kereta, emak dan Mak Leha, jiran saya bertukar cerita lagi tentang kawan-kawannya yang mengidap kanser. Malam, waktu emak menelefon teman lamanya di Melaka juga saya mendapat berita yang sama-kanser. Saya jadi ketakutan juga. Harus beringat dengan gaya hidup saya selain berdoa minta diberikan kesihatan menjalani hidup.

Dan jadual saya berubah. Tidak boleh bermlas-malas di hadapan laptop waktu pagi. Harus segera menyediakan Muadz yang banyak ragamnya waktu pagi. Kasutnya, stokinnya, suplementnya, gaduhnya dengan Hakim pagi-pagi buta; semuanya cukup untuk membuat saya menjerit di awal pagi.

Ini jadual baru saya. Masak,hantar dan ambil adik sekolah, makan, masak lagi, makan. Cuti…saya harus benar-benar mendisiplinkan diri.
BACA SELENGKAPNYA - Home Sweet Home
0

Berikan Setitis Kasih-Mu

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan yang hari demi hari memberi peluang kepada saya melihat dan memahami hidup. Sudahkah anda mengucapkan syukur hari ini? Sudah baca doa bangun tidur? Aduuh, ini soalan untuk anak kecil. Kenapa? Yang dewasa ini tidak terlupakah membaca doa?
Syukur. Syaidina Umar mempunyai satu kebiasaan. Beliau suka bertanyakan khabar rakyatnya. Apa khabar anda pagi ini? Baik, jawab seorang lelaki. Beliau mengulang pertanyaannya, apa khabar awak pagi ini? Baik. Diulang lagi soalan yang sama, apa khabar awak pagi ini? Baik, Alhamdulillah. Ha, itu yang aku nak dengar, kata Syaidina Umar. Aku bertanya khabarmu supaya aku boleh mendengar puji dan syukur itu dari dirimu.
Ahh, lihat bagaimana seorang pemimpin mendidik rakyatnya tentang syukur.
Saya semakin jatuh cinta dengan Umar. Dan sepulangnya saya dari Rumah Sinar Salam menemankan sahabat saya Ustazah Huda, waktu mengulit buku 'al-Usrah al Muthla fi Daui al Quran wa as Sunnah/Keluarga Ideal Menurut alQuran dan Sunnah, sekali lagi saya jatuh cinta kepada Umar. Saya menangis sendiri. Saya merintih sendiri..Di mana Umar untuk ummat ini?



Buku itu bercerita: Seorang sahabat bernama Aslam menceritakan: Aku keluar bersama Umar pada satu malam. Lalu kami ternampak cahaya. Kata Umar, marilah kita ke sana, Aslam. Kami mendekat dan kami dapati ada seorang wanita bersama anak-anaknya. Wanita itu sedang memasak sesuatu di atas api dan anak-anaknya sedang menanti, menangis kelaparan. Umar memberi salam. Mengapa anak-anak ini masih tidak tidur? Mereka lapar. Lalu, apakah yang engkau masak dia atas api itu? Air. Aku jerangkan supaya mereka akan tidur. Allah akan mengadili antara kami dan Umar.
Maka Umar pun bergegas pulang menuju ke tempat penyimpanan gandum, mengambil sedikit daripadanya dan sedikit daripada lemak. Beliau berkata, wahai Aslam, letakkan di atas bahuku untukku galas. Maka aku berkata, tidak, biar aku yang membawanya. Lantas Umar menjawab, adakah engkau akan memikul dosa aku di hari kiamat kelak? Lalu beliau memikulnya sendiri. Kami kembali ke rumah wanita tadi. Beliau menguli gandum tadi, meletakkan sedikit dan membiarkannya di atas api sehingga masak. Asap menyelimuti janggutnya. Apabila siap makanan tersebut, Umar berkata, berikan aku pinggan. Dan Umar menghulurkan makanan itu kepada anak-anak kecil tadi. Kata Umar, makanlah sehingga kenyang. Kami menunggu sehinggalah anak-anak itu tidur. Kemudian kami pun beredar. Umar berkata: Wahai Aslam, kelaparanlah yang menyebabkan mereka berjaga dan menangis!
Ah..Umar.
Saya bertanya kepada mak cik di sebelah saya waktu dia menikmati hidangn petang kuew tiaw goreng dan telur mata kerbau; acik duduk di mana? Tak de rumah. Menumpang di rumah tinggal. Ooo. Saya mengangkat bayi comel yang terbaring tenang di hadapan kami sepanjang sesi kelas agama petang itu. Ibunya di sebelah kiri saya tersenyum. Dah dua tahun, tapi masih belum boleh berjalan. Ayahnya masuk pusat serenti. Abang dia, tinggal dengan nenek di rumah. Akak tinggal dengan emak. Tapi memang datang sini. Sejak datang sini, ringanlah beban. Mereka belikan susu anak, bagi makan. Seorang bayi lagi sedang dalam pangkuan ibunya. 'Masih belum dipastikan samada dia punya HIV atau tidak, kata Kak Fida, pengurus rumah itu kepada saya.
Saya menatap wajah-wajah di hadapan saya. Tua muda. Ada sebaya nenek,mak cik-mak cik saya dan ada juga yang mungkin sebaya saya. Masing-masing punya kehidupan silam yang hitam. Masih ada juga yang masih mengjalani kehidupan hari ini yang bercampur warnanya-kehidupan kupu-kupu malam.
Huda bercakap tentang syukur hari itu. Tentang nikmat terbesar yang harus disyukuri-iman dan islam. Saya ikut diberi peluang. Saya kongsikan tentang Umar- katanya: Aku merasa nikmat iman kerana aku kenal Jahiliyyah. Kami berkongsi tangis dalam bicara. Kita bercakap ria tentang syurga. Kampung yang kekal abadi. Apakah cukup bekal ke sana?
Saya melihat wajah-wajah kaum sejenis saya. Saya menyimpan pedih di dalam hati. Di mana suaminya, bapanya, adik beradik lelakinya? Lelaki-lelaki yan mendatanginya, apa terlupakah kalian yang wanita itu harus dimuliakan? Diletak di tempat yang selayaknya sebagaimana Rasulullah mengembalikan kemuliaan wanita dengan kedatangan Islam. Apa jalan berliku yang dilalui Rasulullah itu kalian buang dari ingatan lalu kalian kembalikan tempat wanita-wanita itu seperti dulu; waktu perempuan itu bagai barang dagangan, harta warisan...
Ah, perempuan, setelah dimuliakan, apa kita sanggup kembali dihina.
Semua orang ada kisahnya. Saya dan anda juga ada kisah sendiri. Tapi kita tak dilahirkan untuk hidup sendiri, kan. Kita diajar untuk berkenalan, saling memahami dan bermasyarakat. Mukmin itu seperti bangunan. Saling menguatkan. Kalau ada yang tersilap sama kita betulkan. Justeru, kalau ada masa yang terluang, sama kita hulurkan bantuan dan kalau ada ruang ingatan, dalam doa jangan dilupakan. Hari ini mungkin hari kita melihat sukar dan perit hidup orang lain. Siapa tahu hari esok hari kita. Lalu kita harap dengan sedikit tulus doa dan ikhlas kita hari ini, akan dimudahkan jalan-jalan hidup kita yang akan datang.
Selamat berjuang!
BACA SELENGKAPNYA - Berikan Setitis Kasih-Mu
6

Tentang Saya...?

Beberapa orang telah men’tag’ saya. Tah hapa-hapalah (baca ikut cr Mastura) kan tag ni. Tapi macam best pula.Jadi, saya akan menunaikan janji untuk menulisnya kerana saya sudah pulang dari medan juang dengan tangisan. Waaaa..tolong doakan saya, tolooong. Tapi maaflah, terpanjang pula tag ni.
1- Saya, Siti Maryam Hasni. Orang panggil Sit, Maryam, Kak Uda (di rumah dan di kampung), Siti dan Bonda. Bagi yang tak kenal saya mesti pelik kenapa orang panggil saya Bonda. Sudah tuakah saya? Bonda- adalah panggilan utk saya waktu berada dalam PMIUM. Honestly, saya segan dengan gelaran itu kerana saya tidak berbuat selayaknya waktu duduk di kerusi itu TETAPI percayalah, saya tidak berbohong apabila saya menyayangi anda yg memanggil saya bonda. Saya benar-benar mahu menjadi seorang ‘bonda’ untuk anda.
2- Pernah bercita-cita utk jd career woman, menteri, yg hebat, elegant, punya segalanya. Tp setelah smkin dewasa dan mlihat hidup, harap sgt kalau boleh jadi suri rumah dan bekerja dari rumah. Tapi sebab hutang PTPTN yang melambak- kena kerja juga nanti. Cakap tentang kerja sahaja, sudah menjadi satu stress pd saya sebenarnya.Hehe. Emak sdh berbuih mulut bercakap tntng kerja kpd saya. Saya memang tak nak kerja, tapi jgn kurung saya di rumah, saya mahu hidup dengan masyarakat, berbakti semampunya.
3- Saya sangat cintakan bahasa Arab-walaupun tak pandai2 sampai skrg. Cinta yang sukar diungkap.

Ia ada dalam hati, berkeliaran di minda, mengalir ke seluruh urat saraf. Sejak umur 16 tahun saya bertekad utk ke negara Arab. Saya mimpikan masjid yg cantik, luas dan tenang. Dari mimpi, saya mengayam impian dan menetap tekad hingga saya dianugerahi ziarah 4 bln ke Syria tahun 2005.


Tuhan sahaja yg tahu bagaimana sakitnya saya 7 tahun menunggu peluang itu dan bila pulang dari Syria, saya ambil masa hampir setahun utk pulih. Sakitnya. (maafla, saya tahu ada yg kecil hati dgn sikap saya waktu itu. Ko faham kan, Tipah.) Dan saya sgt takut klu bahasa itu hilang dr saya. Ia cinta saya, sesuatu yang menolak saya utk terus bersemangat dan berjuang.
4- Jatuh cinta pada ilmu tafsir sjk baca muqaddimah Fi Zilal al Quran-Sayyid Qutb.
5- Harap akan terus belajar dan belajar. Atau duduk dekat2 dengan universiti dan dapat masuk library bila-bila masa dan boleh didik anak-anak saya dengan suasana itu. Masih menyimpan cita-cita utk belajar dan mengembara ke luar negara esp negara arab.
6- Ada 12 adik beradik termasuk saya. 8 lelaki, 4 perempuan. Sgt suka berkumpul dengan ahli keluarga. Kami suka buat aktiviti bersama contohnya buat video klip, berlakon drama. (Cerita hantu kami gagal disambung stlh 3 hr penggambaran. Tak profesionallah katakan). Dan tetap tak lupa benda-benda yang patut contohnya berkelah, usrah keluarga. Ayah akan bg turn utk pentazkirah. Waktu ni, dilarang tidur selepas subuh! Saya cintakan zaman saya ditarbiah waktu kecil, (zaman al-Arqam). Saya harap saya tidak akan terlalu kejam memaksa anak-anak saya nanti mengikut cara saya. (Ah..zaman yg mencabar hari ini akan jd senjata 2 mata-musuh dan kawan).
7- Obses pada aerobik terutama yg ada element dance. (mcm Cik Naurah Masturala). Sekarang, saya sedang memberi tumpuan utk pandai berenang. Thanks pd swimming pool UIA yg best tu. Dan saya berharap sangat utk pandai menunggang kuda. Mesti bestkan. Lebih hebat dari Yamaha Sport saya.
8- Saya rasa saya perfectionist(this affect me a lot- dan sbb tu agaknya org kata saya choosy). Saya kerja kuat utk buat sesuatu sampai complete. Saya akan menyalahkan diri saya bila saya tak boleh buat yg terbaik. Seorang kawan selalu mengulang pesan pada saya- Maryam, لا يكلف الله نفسا إلا وسعها .
9- Suka menulis. Masa sek menengah, tulis suka-suka.Tiap-tiap tahun diari saya penuh bertulis.Skrg dah tak tulis diari sejak kena marah dgn ustazh kat Syria. Tulis di blog or buat cerpen sikit2. Saya ada folder yg saya namakan ‘Release n Respond’. Kalau saya marah kat org, saya akan menulis utk redakan perasaan tu.
10- Suka masak –untuk adik-adik lelaki saya yang suka makan dan kawan-kawan. Tapi kalau tak ramai org yg ada, tak da mood nak masak. Suka ikan keli, lada hitam. Sekarang sedang belajar utk makan makanan yg sihat-sihat.
11- Tak suka kerje-kerje yg melibatkan perincian yg kecil2 cth hias pentas, jahit manik, buat hantaran. Tapi selalunya terpaksa kena buat. Tak kisah psl hiasan2 sangat tapi quite strict psl cleanliness.

12- Harta kesayangan saya- KAA 1307 –motor Yamaha Sport warna merah. Ramai org kenal saya sbb motor ni tersngtlah kuat bunyinya. Dah tua. Tapi tak pa.Ini je harta saya. Beli ngan duit PTPTN. Lagi satu-laptoplah. Kawan saya mengadu banyak perkara.

13- Tak suka shopping. Tapi sekali shopping, sangat lama dlm memilih. (kata Usu Nazihah- sian siapa jadi suami K.Cik).

14- Cepat nervous sbnrnya. Bila kena bercakap di khalayak mesti menggigil la walaupun suara lantang. Kalau org tgk tangan saya, dia akan perasan.

15- Sebenarnya, apa impian saya? Saya mahu jadi seorang yang berilmu, berdisiplin, sangat dekat dengan Al-Quran dan Sunah, isteri solehah dan ibu mithali. Mahu jadi ibu kepada anak-anak seperti Zaid bin Thabit, Salahuddin al-Ayyubi dan Muhd Al-Fateh. Layakkah saya?

16- Banyak sangatlah 16 ni. Apapun, tahniah, anda berjaya menyudahkan bacaan. Sbg hadiah, anda di beri peluang untuk tolong tambah yang terakhir :).

Siapa yang saya nak tag? Semua dah buat kan? Yang tak buat lagi tu, sila buatla. Dijahis, bila nak menulis tentang falak di blog pulak?
Akhirnya, untuk anda, bait lagu yg saya suka selalu
Andai kasturi hilang harum,
Mawar tak berkuntum,
Cinta tak bersambut
Biar emas setinggi gunung
Kan kupeluk rimbun ampun
Rahmat Yang Maha Agung........ Ramli Sarip.
BACA SELENGKAPNYA - Tentang Saya...?
4

Dekati Al-Quran

Lamanya tak menulis di sini. Maaf, saya sedang berada di medan jihad. Sedang bergelut dengan buku dan kertas. Tak seronok pula rasanya tidak menyediakan hidangan baru untuk tetamu yang datang bertandang ke teratak saya. Saya kongsikan dulu artikel tulisan saya yang tersiar dalam ANIS- Febuari untuk manfaat bersama. Habis exam nanti, saya ulas lagi tentang ini dan saya berminat untuk mengetahui komentar orang lain tentang isu yang saya kongsikan.
Tajuk: Dekati Al Quran
Pasti kehadiran tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 telah disambut oleh para remaja sekalian dengan penuh azam membara. Pasti segala aspek dititikberatkan dengan mengambil kira kekurangan dan kesilapan tahun lalu juga kecemerlangan yang dicapai. Harapnya, salah satu dari azam-azam kita itu adalah untuk memperbaiki hubungan kita dengan Dia-Kekasih.
Apa pun, eloklah dalam bulan-bulan awal ini kita meneliti kembali azam kita. Adakah ia azam yang tersusun, berjadual dan praktikal atau sekadar keinginan dan impian yang akan dipenuhi ‘kalau sempat.’ Justeru, apa kata kita zoom kepada satu azam penting yang tidak harus tertinggal dalam diari seorang muslim.

Ada pelbagai cara mengenal dan mendekati Dia, Yang Maha Pemurah memanjangkan usia kita dalam iman dan kesihatan. Orang bercinta selalunya akan bertambah kasihnya tiap kali menatap dan membaca surat, email atau mesej daripada kekasih. Apakah cinta dan rindu kita pada Dia bertambah saban kali kita membaca al-Quran?
Sejak kecil kita dikenalkan dengan kalam Allah. Dari merangkak-rangkak mengeja, membaca, menghafaz surah-surah pendek untuk dibawa solat hingga khatam keseluruhan al-Quran, apakah semakin kuat mencengkam pesan-pesan Kekasih dalam hati sehingga terzahir kesannya pada peribadi kita atau sebaliknya atau ia cuma bacaan yang tak punya sebarang tarikan, sekadar memenuhi tuntutan al-Quran itu untuk dibaca..

Hak al-Quran
Sahabat, kalam Kekasih itu punya beberapa hak yang dituntut untuk kita melaksanakannya. Hak untuk diimani, hak untuk dibaca, hak untuk difahami isinya dan hak untuk diamalkan. Sehingga usia kita hari ini, sudahkah kita sempurnakan segala hak tersebut? Marilah kita sama-sama mengkoreksi sejauh mana keintiman kita dengan kalam Tuhan ini.


Beriman dengannya? Ya, kita percaya ia mukijzat Rasul s.a.w yang kekal hingga ke akhir zaman. Membaca? Ya, kita sudah beberapa kali khatam. Bertajwid membacanya? Ya, kita sudah belajar dan mematuhinya. Belum? Jangan malu untuk sesuatu yang perlu. Memang tidak wajib mempelajari tajwid tetapi membacanya dengan tajwid adalah wajib. Justeru, kalau masih belum memenuhi hak ini, carilah guru. Usah malu walau usia telah meningkat dewasa.

Berguru
Juga, ingin diingatkan di sini, al-Quran itu perlu dipelajari secara berguru. Ingat bagaimana Jibril a.s mengajar Baginda Rasul kemudian Baginda mengajarnya kepada para sahabat. Para sahabat seterusnya mengajarnya pada sahabat-sahabat yang lain serta kaum keluarga mereka. Begitulah proses pengajaran al-Quran berlangsung dari generasi ke generasi. Sehingga pada zaman Syaidina Uthman apabila beliau mengarahkan umat Islam sepakat mengikut al-Quran yang dihantar kepada mereka, beliau tetap menghantar guru beserta al-Quran tersebut. Ini menunjukkan kepentingan al-Quran itu dipelajari secara berguru.

Kelansungan Interaksi dengan al-Quran
Seterusnya, jika hak di atas telah dipenuhi, marilah kita melihat pula kepada usaha kita mentadabbur atau memahami isi al-Quran. Jika ditanyakan berapa peratuskan isi al-Quran yang sudah difahami maknanya, pasti kita tergaru-garu mencongak. Ya, kita sering mendengar ustaz ustazah menghurai maksud ayat al-Quran dalam ceramah di mana-mana atau di media elektronik atau kita barangkali rajin membaca tafsir. Tapi adakah kita sudah menjadikannya satu jadual wajib seperti mana kita dipaksa oleh ibubapa kita untuk mengaji setiap hari sebelum khatam dahulu? Nah, apakah jadual ‘mengaji’ baru bagi menggantikan jadual lama dahulu?
Setelah khatam al-Quran, kebanyakkan kita sudah kurang mengambil berat tentang perlanjutan hubungan kita dengan al-Quran. Sekadar Yasin setiap malam Jumaat kadang-kadang sudah memadai pada anggapan sesetengah orang. Sedangkan kalam Kekasih itu adalah manual hidup yang merangkumi segala panduan dalam memastikan kita tidak tersasar membawa diri sebagai khalifah di atas muka bumi ciptaan-Nya.

Justeru, ada baiknya untuk tahun ini kita berdikit-dikit cuba meningkatkan usaha kita untuk mendekati Dia. Bukankan dengan mendekati Dia, kita akan lebih mengenali diri kita? Tidakkah kita mahu mengenali Dia yang telah mencipta segala keajaiban yang maha hebat? Antaranya seperti yang terkandung dalam firman Allah:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفاً أَلْوَانُهَا...
Maksudnya “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya…” (Faatir: 27) . Lihat, dari air hujan yang sama, dihadiahkan kita buahan-buahan pelbagai rupa juga haruman berbeza dari bermacam bunga-bungaan aneka warna yang menyejukkan mata memandang.

Susun Jadual
Bukan mudah memulakan azam ini. Mulakanlah dengan mengkaji ayat-ayat yang sering kita dengar atau baca. Kemudian diteruskan dengar ayat-ayat yang dekat dengan kehidupan harian kita. Jika kita pelajar Sains, ada pelbagai fenomena alam termaktub dalam al-Quran. Kalau kita seorang perempuan, antara surah yang dipesan oleh Syaidina Umar dan Ummul Mukminin, ‘Aisyah untuk diajarkan kepada kita adalah Surah an-Nur. Untuk permulaan, cara ini mungkin akan dapat menumbuhkan minat kita kepada tafsir al-Quran berbanding mula membaca tafsirnya dari awal al-Fatihah, al-Baqarah dan seterusnya. Ini untuk mengelakkan kita mudah jemu dan berhenti walaupun baru sahaja memulakannya. Mintalah pandangan dan bantuan tentang ayat-ayat pilihan ini daripada mereka yang mendalami bidang ini.

Bagaimana dengan pilihan kitab tafsir? Ada beberapa kitab yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Fi Zilal (Sayyid Qutb). Juga ada tafsir yang memang ditulis dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Hamka dan Tafsir Sonhadji. Jangan lupa mencatat setiap ayat yang telah kita baca dan fahami huraian ayatnya selain mematuhi jadual yang kita tetapkan untuk diri kita. Buatlah sasaran peribadi contohnya, dua ayat seminggu bagi bulan pertama kemudian meningkat kepada tiga ayat seminggu untuk bulan seterusnya. Motivasikanlah diri anda dengan jadual berwarna-warni atau cari kawan yang akan berganti-ganti dengan anda membaca dan menerangkan kefahamannya kepada anda.

Akhir sekali, jangan lupa tentang hak al-Quran untuk diamalkan isinya. Tanamlah dalam hati agar al-Quran yang kita baca tidak melaknat kita semula hanya kerana keegoan kita untuk tunduk dan patuh pada pesan Pencipta, Kekasih Agung.
Ayuh, mulakan melarik jadual anda sementara masih dikurnia hammasah (semangat) darah muda dan upaya melaksanakannya.
BACA SELENGKAPNYA - Dekati Al-Quran
0

Yang Tercinta

Saya kehilangan cinta dan rindu yang selalu lebat bertandang pabila tiba Rabiul Awal dek kesibukan dengan assignment dan presentation. Tidak sempat membajanya sebaik tahun-tahun sebelumya. Tak mengapalah, sementara saya mengairi kembali hati saya, saya tinggalkan dulu catatan ini.
Sekadar mahu berkongsi, membaca sejarah memang bukan minat ramai dari kita. Namun, saya sukakan sebuah buku hadiah daripada seorang teman dari Syria bertajuk ‘Ala khuta alhabib’ (nak terjemahkan apa ya.. perjalanan kekasih) karya daie Mesir yang saya senangi uslub dan pendekatan penulisannya; Amr Khaled (http://www.amrkhaled.net/).
Ada banyak buku sirah yang boleh kita ulit. Seorang guru saya di Syria juga menulis sebuah buku –Sirah Nabawiyah yang saya kira sangat detail dengan peta-peta kawasan dan ditambah sekali dengan syamail Muhammadiah lengkap pula dengan referensinya. Juga sebuah buku bagus yang selalu saya dengar dari mulut-mulut penceramah namun saya masih belum berkesempatan membacanya – al Rahik al-Makhtum. Saya mahu ulang kembali pesan Ustaz Arif yang pernah saya tulis dlm entri Rabiul Awal tahun lepas.."Bacalah sirah, dan kamu akan rasa seperti kamu hidup bersama baginda." Berasakah kita?

Hai kekasih…
Dengarkah kau getar hati
Ini…panas air mata rindu
Mencari sungai kasih yang
alurnya ke Raudah
Kekasih,
Ini rayu jiwa
Mohon diterima sebagai ummat
Agar mudah menumpang syafaat
Saat berhimpun di hari gawat.
BACA SELENGKAPNYA - Yang Tercinta
0

Sesuatu yang Hilang

Inggrid, rakan saya dari Colombia sewaktu saya tanyakan perbezaan yang dirasakan di Malaysia termenung panjang, berfikir dan sesekali tersenyum memandang saya. Barangkali dia teragak-agak mahu berkongsi dengan saya. Saya mengajaknya bertemu bagi memudahkan komunikasi kami berbanding dalam mesej yang terhad. Dia meminta cadangan buku-buku yang baik untuk dibaca tentang Islam.

“Masyarakat di sini tidak semesra kami.” Saya sedikit terkejut tapi cuba menyembunyikannya. Selalunya orang akan mengatakan masyarakat Malaysia sangat peramah. “Kenapa?” Soal saya. Dia menggeleng. Keluarga di sana apabila bertemu, kami sangat mesra. Memeluk satu sama lain. Duduk berdekatan dan berbual mesra. Di sini tidak. Saya sedar, setiap kali bertemu, Inggrid jarang menyalami saya tapi segera memeluk dan melaga pipi dengan saya.

Awak rindukan keluarga awak? Sangat, ujarnya. Saya mencari-cari jawapan yang sesuai. Saya melalui kedua-dua situasi, satu keluarga yang sangat peramah sehingga anda tidak segan berkongsi sesuatu dan satu lagi keluarga yang membuatkan anda kekok apabila berada di kelompok mereka. Untuk saya sendiri, ada cara sendiri menilai kedekatan saya dengan sesebuah keluarga. Selalunya, apabila saya boleh wewenang, bebas berada di dapur, memasak atau membantu itu bermakna orang-orang itu melayan saya seperti keluarganya. Tapi apabila saya datang ke rumah mana-mana saudara terdekat tetapi saya hanya pandai bersalam atau membuat sesuatu apabila diminta, atau saya kena ringan mulut bertanya, maka itu bermakna kemesraan kami masih agak jauh.
Justeru saya ceritakan padanya tentang keluarga saya yang kecoh dan tentang kedua-dua situasi di atas. Bergantung, kata saya.

Tapi yang pasti, setiap kali saya pulang ke rumah nenek di kampung di Melaka, situasinya sangat meriah. Mak cik mak cik saya akan memeluk saya erat dan mencium pipi saya. Haha, terasa seperti baby comel yang baru lahir. Kemudian, mereka akan mengajak saya ke rumah mereka. Bersungguh-sungguh mereka mengajak. Ko naik bas, turun depan simpang, nanti Mak Lang ambil. Begitu. Dan apabila ada apa-apa kenduri di rumah nenek, suasananya jadi sangat meriah. Dari menyembelih kambing atau ayam, melapah sehingga memasak dilakukan bersama. Nenek memang pantang kalau orang perempuan terutamanya cucu-cucu yang sedang meningkat umur tak masuk dapur. Anak dara pemalas katanya. Hidangan yang paling istimewa pastinya ikan sembilang salai masak cili padi. Pergh, adik-adik lelaki saya kadang-kadang akan makan untuk kali kedua di dapur bersama kami yang duduk di dapur. Makan bersama tetamu lain kena ‘control’.

Mungkin keluarga di Melaka masih dalam suasana kampung dan mak cik-mak cik saya kebanyakannya sudah berumur. Berbeza dengan saudara yang berada di Kuala Lumpur dan masih sekitar 30-an. Apa pun, emak dan ayah memang selalu memastikan kami akan ikut aktiviti keluarga seperti kenduri atau hari keluarga. Penting supaya kami saling kenal antara satu sama lain. Dan saya juga belajar-belajar untuk lebih ‘mesra alam’, buang malu dan malas untuk bertanya khabar dan bertukar cerita dengan mereka-mereka yang terasa jauh ini. Tapi saya pasti, itu pun tidak mudah untuk kebanyakan kita kerana selalunya kita selesa duduk diam, layan hand set, baca paper dan membiarkan tv mengisi ruang kosong antara kita.

Inggrid dan teman-teman foreigner saya, mereka tetamu yang harus dirai. Tapi saya selalu rasa kurang. Saya pernah merasa lebih. Dirai lebih daripada keluarga sendiri. Segala keperluan dicukupkan. Kasih sayang itu yang saya masih terkenang, masih rasa berhutang budi dengan mereka-mereka yang 'menggantikan' keluarga saya waktu saya musafir sebentar di Syria, habibati. Sehingga saya sering rasa malu dengan keupayaan saya menghormati tetamu. Mereka...mengajar saya tentang cinta.












BACA SELENGKAPNYA - Sesuatu yang Hilang
3

Catatan Hari-Hari Luka

Bicara pada Angin

Mahu ke manakah engkaulah wahai angin?
Seperti selalu, menurut perintah Tuhanku
Sudikah kau sampaikan salam dan pesanku pada tuan-tuan terutama yang memegang amanah rakyat jelata

Nafsu, bila tak terkawal
Membawa hilang pertimbangan
Kelak tiap sesuatu tidak diletak pada tempatnya
Kezaliman itu kan jadi permainan
Nafsu sejak dulu, sejak dicipta
Telah terkenal degil
Lalu memang akidah tak boleh goyah
Prinsip tak harus berubah
Syaitan, telah masyhur dengan takburnya
Tapi waktu menderhaka masih mengakui
Akan Tuhannya, fabi’izzatik - dengan kemulian engkau
Tapi manusia saat menjunjung kuasa
Hampir-hampir lupa dia hamba
Takut-takut takburnya lebih tinggi
Lalu syaitan sudah boleh goyang kaki
Kerana dia punya pengganti
Siapa dan di tahap mana pun engkau
Ingat, Akhirat bukan mainan
Yang kau sendakan
Bagai tiada esok untuk pembalasan


Engkau? Si tanah hitam, mahu apakah engkau engkau sekarang?
Aku mahu ke mana? Tetap di sini sehingga Tuhan mentakdirkan perpindahanku ke tempat lain. Justeru aku hanya mampu terus berdoa

Tuhan,
Pulangkan hak pada pemiliknya
Hantar isyarat pada yang terleka
Sedarkan yang terlalai
Bangunkan yang terbuai
Dalam lena panjang
Mendaki istana mimpi
Kerana perjuangan bukan kerjanya
Pemilik mulut yg muluk
Tapi pemilik hati putih tanpa cela
Yang tidak risaukan not berwarna
Dengan usaha mereka bermula
Dengan takut dan harap mereka bekerja
Agar setiap denyut nadi, hela nafas
Dan titik peluh sama-sama jadi saksi
Saat tertutup mulut-mulut
Dan berbicara pula sang kaki dan tangan
Pada hari tidak bermanfaat baginya anak-anak dan harta
Kecuali orang mengadap Tuhannya dengan hati suci

BACA SELENGKAPNYA - Catatan Hari-Hari Luka
0

"Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza"

Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza. Itulah tajuk ulasan Pn Siti Hajar Che Man terhadap keempat-empat cerpen yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember. Salah satunya adalah “Pacai itu Cendana” tulisan saya yang keempat berjaya menembusi media. Saya kongsikan sedikit ulasan Pn. Siti Hajar dalam Tunas Cipta Januari di sini.
Beliau memetik kata-kata Judson Jerome dalam bukunya The Poet and The Poem(1979), kepekaan dapat ditahapkan kepada enam, iaitu kepekaan kepada diri, fakta, bahasa, seni, umur dan misteri. Keenam-enam kepekaan ini adalah bersumberkan dari dalam diri dan merupakan tindak balas terhadap dunia luar. Dan beliau mengulas cerpen saya sebagai demikian:

“Demikian juga dengan cerpen “Pacai itu Cendana” karya Maryamnour agak unik kerana cerpen ini telah menampilkan semua watak wanita yang diterajui oleh gadis terpelajar bernama Hanis. Cerpen ini juga menarik dan telah berjaya menambah ilmu kepada pembaca khususnya orang Islam iaitu kursus/proses pengurusan jenazah. Pengalaman, pengamatan, penelitian, penyelidikan dan pengetahuan pengarangnya Maryamnour disalurkan/dipindahkan kepada Ustazah Roshayati Samad yang merupakan pengurus jenazah Jabatan Agama Daerah.”

“Pada hemat saya, kisah yang dipaparkan luar biasa, jarang-jarang ada pengarang muda yang bijak memilih kisah atau cerita yang jarang-jarang pula akan memberikan impak kepada pembaca. Dalam hal ini Maryamnour telah “melawan arus” lari daripada konvensi dan berjaya membina invensi. Ceritanya bersahaja tetapi amat signifikan. Judul cerpen yang dipilij juga menarik kerana berjaya memberikan kesan tanda tanya kepada pembaca-apa itu pacai? Sekali lagi pembaca dihidangkan dengan sebuah cerpen didasarkan kepada penelitian, pembacaan, penyelidikan, pengamatan dan praktikal. Setiap satunya dihubungkan dengan bakat Maryamnour yag bijak mengawal proses kreatif. Mesej cerpen ini bersifat dua dalam satu, memenuhi masa senggang dan dalam masa yang sama mendapat ilmu fardu kifayah.

Pembaca diberitahu langkah-langkah awal sebelum seorang itu menemui ajalnya. Pengarang menyatakan secara tertib, bermula dengan (1) adab berziarah orang sakit,(2) tanda-tanda yang kelihatan pada orang yang sudah dekat waktunya, (3) minta orang berkenaan berwasiat, (4) ajar mengucap (5) wajib bagi minum atau titikkan air di mulutnya atau basahkan bibirnya (6) apabila berpisah jasad dengan roh raupkan mata dan ikat dagu (7) salin baju dan tutup dengan kain bersih . Pembaca juga diberitahu bagaimana mayat dimandikan dan apakah keperluan yang perlu disediakan. Setiap satu peralatan dijelaskan secara ringkas tetapi rinci, iaitu kain kapan lima helai, kapas, serbuk kapur barus, serbuk pacai (serbuk cendana), kain harus diukur sesuai dengan ketinggian tubuh. Paling berkesan pesan Mak Yati ialah “jangan terpaksa membeli kain baru. Kita yang silap, si arwah yang difitnah.” Dalam hal ini teknik penyampaian Maryamnour sangat kreatif dan imaginatif. Hal ini kerana (1) beliau berjaya menjalinkan secara selari antara maklumat/fakta dengan elemen susatera, (2) ceritanya segar seolah-olah pembaca turut hadir dalam kursus tersebut (3) campur tangan pengarang cukup minima. Kesannya, pembaca terhibur dan dalam masa yang sama mendapat beberapa info penting tentang pengurusan mayat. Itulah istimewanya sastera!”

“Dalam keasyikan pembaca melewati cara-cara pengurusan mandi mayat, pembaca turut dibekalkan dengan kata-kata nasihat yang disampaikan secara sindiran halus tetapi mengenai sasaran. Umpamanya, telitikan teguran yang diberikan pengarang (1) “hari ini guru datang dengan segala macam alat bantu mengajar sedang pelajar berlenggang-kangkung. Dahulu, guru yang datang dengan tangan kosong dan pelajar sibuk dengan buku dan alat tulis,” (2) Hari ini penceramah terutamanya yang bercakap tentang agama kadang-kadang hampir jadi badut di pentas mahu memastikan pendengar seronok dan mahu belajar. Hakikatnya, itulah yang sebenarnya berlaku dalam dunia realiti. Pemerhatian yang dibuat oleh pengarang adalah tepat Syabas kepada Maryamnour!”

Pn Siti Hajar menutup ulasan beliau dengan mengungkapkan kata Michel Zeraffa yang menyatakan:
“The work of the writer is the expression of a reality which already has in his/her mind a form and a meaning and he/she expresses it by means of technique, and some of which he/she has worked out himself from phenomena he/she has actually observed”.

Secara peribadi, saya agak teruja dengan ulasan beliau kerana pada permulaan menulis saya agak teragak-agak juga untuk mengemukakan cerita tentang pengurusan jenazah, isu tidak popular yang mahu saya angkat sebagai tema cerita saya. Namun, sebenarnya ada perkara lain dalam kepala yang membuatkan saya meneruskan niat.

Pertamanya, warga tua wanita yang kuat semangat menuntut ilmu. Saya kira di kampung dan di bandar situasinya tidak banyak berbeza sekarang. Dan semangat itu saya jumpa di kampung saya sendiri dan di universiti tempat saya belajar sekarang. Jujur, sungguh, saya cemburu! Saya cemburu akan semangat itu. Saya mempunyai satu ketakutan dalam diri. Takut sekiranya nikmat cinta ilmu itu ditarik dari hati saya suatu waktu nanti. Jangan. Kerana usia muda ini pun saya agak cuai dengan disiplin membaca.

Keduanya, persoalan keterlibatan orang-orang muda yang sangat kurang dengan program-program di kampung. Saya cuba mencari sebab akan hal ini. Satunya mungkin kerana kebanyakkan orang muda belajar di sekolah asrama, kemudian menyambung pengajian atau bekerja di tempat yang jauh dari kampung menyebabkan mereka jarang-jarang pulang ke rumah. Ini menyebabkan mereka, (saya juga), kurang mengenali warga di kawasan kejiranan. Justeru, waktu cuti sesekali pulang ke kampung itu tidak dimanfaatkan sebaiknya. Malu pergi majlis kenduri-kendara, malu untuk bertegur sapa dengan pak cik mak cik yang berselisihan dengan kita. Soal kenduri ini, ada isu lain juga- malas. Saya kira ibubapa harus bertegas dengan anak-anak sejak kecil. Harus rajin membawa anak-anak ke majlis-majlis silaturrahim ini. Mungkin leceh sedikit kerana harus mengawasi perilaku anak-anak takut mengaibkan. Tapi itulah proses pembelajaran yang tidak harus sesiapapun tertinggal melaluinya. Kebiasaan ini penting untuk mengelakkan rasa malu dan kekok yang menatijahkan malas pada generasi muda kita. Jika tidak, lihat sahaja anak-anak yang agak liat menyertai majlis ‘orang-orang tua’ seperti rewang dan gotong-royong kampung. Saya ungkapkan sedikit tentang ini dalam cerpen ini. Tapi ada sedikit bahagian yang dipotong oleh editor menyebabkan maksud saya tidak kesampaian. Apapun, saya harap pembaca telah mendapat mesej yang lain. Bahagian yang saya warnakan merah dalam entri lepas adalah bahagian yang dipotong.

Bila saya membaca kembali cerpen itu berkali-kali, saya tersedar ada banyak kelemahan yang saya tidak sedari sehingga terlepas dari proses ‘editing’ saya. Antaranya penggunaan kata ganti diri atau sudut pandangan yang masih kurang kemas di beberapa tempat dalam cerpen ini. Seterusnya, saya menyedari yang saya masih tidak mempunyai satu prinsip tetap dalam mengungkapkan komentar saya terhadap isu-isu terutamanya berkaitan dengan agama. Ia sedikit sukar kerana saya seboleh-bolehnya mahu berlapik dan berlapis mengungkap kata tetapi terkadang ia sukar. Dan kadang-kadang juga saya menjadi terlalu berlapis sehingga yang membaca sukar memahami seperti cerpen saya bertajuk “Perempuan Kala” yang tersiar dalam Wasilah tahun lepas. Apapun, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Terima kasih atas perhatian semua.
BACA SELENGKAPNYA - "Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza"
5

Pacai itu Cendana

Saya kongsikan bersama anda cerpen saya yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember. Terlambat barangkali tapi saya sedang memahami soal hak cipta dan setelah memahaminya melalui Ummu dan membaca tulisan Kak Nisah Haron, sedikit sebanyak saya mengetahui bila saya boleh menyiarkan tulisan saya di blog ini. Saya tahu, kebanyakkan teman-teman baik saya tidak kenal dengan majalah keluaran DBP ini malah bila saya maklumkan pada keluarga saya, mereka bertanya, majalah apa tu? Tak pernah jumpa pun. Memang, saya tak bertemunya di Rengit. Justeru, moga perkongsian saya dalam cerpen ini bermanfaat untuk anda. Dan saya mengalu-alukan komen. Minggu depan saya akan kongsikan pula komentar cerpen ini dalam TC Januari.

Pacai itu Cendana



“Ude, cepat! Dah lambat ni,” emak menjerit dari biliknya. Hanis cepat-cepat menyudahkan kunyahannya. Sedikit terkilan kerana tidak benar-benar menikmati mi bandung yang dimasaknya untuk sarapan pagi Ahad itu. Kurang lima minit lagi ke pukul sembilan. Dia mengemaskan kain batik yang sedikit longgar dan segera bergegas ke bilik mengambil baju dan tuala mandi. Sengaja dipilih baju lama warna merah tua dengan taburan bunga-bunga kecil. Memang kebiasaannya memilih baju itu waktu-waktu berkejar dengan masa. Ia dari fabrik yang tidak mudah renyuk, justeru jika tidak digosok pun tidak kelihatan celanya. Hanis mandi ala kadar. Meninggalkan rutin meladeni wajah di cermin mahupun menyental kulit mati di tapak kaki. Selesai mandi, segera disisir rambutnya sebelum menempek bedak padat ke muka. Dia mengenakan tudung, merapikannya, mencapai telefon tangan dan berlari ke luar.
Emaknya yang baru mencapai usia bersara sedang menutup pintu kereta. “La, kata nak cepat? Dah tak jadi pergi ke?” Hanis kehairanan. “Tak boleh nak dihidupkan pula kereta ni. Entah apa sakitnya pagi-pagi ni. Mak dah telefon Cik Bib. Kita pergi dengan dia. Sekejap lagi dia sampai,” emak menjelaskan lakunya. Tujuh minit kemudian Cik Bib, kawan emak yang tinggal di kampung bersebelahan tiba. Kami menumpang Pajero miliknya ke Rumah Berkat yang jauhnya kira-kira setengah jam perjalanan. Ada kira-kira sepuluh kenderaan sudah bersusun di sana. Bangunan itu adalah pusat asuhan kanak-kanak pada waktu pagi dan digunakan untuk pelbagai kegiatan kemasyarakatan pada waktu petang dan malam. Hanis membuntuti emaknya dan ikut menyalami wanita-wanita yang kebanyakannya dalam lingkungan usia 30-an ke atas. “Ha, ni anak kau yang kahwin hari tu kan Nab? Selamat pengantin baru,” Mak Cik Mazmah memeluk Hanis. “Ini adiknya. Yang kahwin hari tu kakaknya,” Mak Cik Bahiyah di belakangnya membetulkan. “Oh, silap orang. Muka lebih kurang,” Mak Cik Mazmah menepuk-nepuk bahu Hanis. “Haa, tak lama lagi la namanya tu,” Mak Jah yang sedang sibuk menguruskan pendaftaran mengusik. Berderai ketawa mak-cik mak-cik di sekeliling Hanis. Hanis ikut tergelak. Dalam hati mengaminkan kata-kata Mak Jah. Terasa bahagia dikelilingi warga desa yang peramah.
“Ude jadi pengerusi majlis, ya. Dah ada orang muda ni, tak payahlah kami yang tua ni nak ke depan,” Mak Jah memandang tepat wajah Hanis. Kawan-kawan ibunya memang ikut memanggilnya dengan gelaran untuk anak ketiga itu. “Bolehlah. Siapa nama penuh penceramah kita hari ni?” Hanis tidak lama berfikir untuk menerima tugas bidan terjun itu. Dia bukannya harus berucap panjang yang memerlukan persediaan atau teks. Sekadar memulakan dan menutup majlis. Tetamu majlis pula bukannya ramai atau asing sehingga menggentarkan dia. Bahasa yang sama juga, bukan Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab. Bukan seperti pembentangan di dalam kelas yang selalu buat dia runsing tidak lena tidur. Tiada markah diberi atau dipotong jika dia terlebih atau terkurang dalam berbicara pagi itu. Tiada sesi soal-jawab untuk dia. Dia hanya mengumpul soalan. Penceramah yang akan menjawabnya. Justeru dia senang memenuhi permintaan itu. Dia pun memang suka duduk dekat-dekat dengan penceramah. Inilah peluang dia lebih-lebih lagi penceramah hari itu sejantina dengannya. Biasanya di majlis-majlis ilmu lain di mana penceramahnya adalah lelaki, Hanis selalu cemburu melihat kaum lelaki bersalaman dengan ustaz, syeikh, profesor atau sesiapa sahaja orangnya. Di kampus, setiap petang selepas solat Asar dan Maghrib memang ada kuliah yang disusun oleh pengurusan masjid universiti. Memang tidak semua kuliah sempat diikutinya. Tapi Hanis sudah mewajibkan diri untuk hadir kuliah Hadis, Tafsir dan Tasauf dari Isnin hingga Rabu. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak membuat janji dengan sesiapa pada waktu itu. Mujur kelas aerobik di Kompleks Sukan Wanita universiti bermula jam 5.45 petang. Sempatlah dia ke sana walaupun kadang-kadang sedikit terlewat. Lebih cemburu lagi bila guru-guru itu memeluk bahu jemaah masjid lelaki yang hadir menadah ilmu dan mendoakan mereka. Hanis tahu doa orang soleh cepat dikabulkan Tuhan.
Hanis mencari-cari susuk sang penceramah. Waktu turun dari Pajero tadi, emaknya sudah memperkenalkan dia dengannya. Sekadar perkenalan ringkas. Hanis memanggilnya Mak Yati. Kelihatan dia sedang berbual-bual dengan seorang tetamu majlis. Di sisinya, seorang kanak-kanak perempuan bercermin mata berusia lebih kurang enam tahun sedang menggulung-gulung tepi bajunya dengan jari dan seorang gadis bertudung putih sedang meliarkan matanya menyeluruhi setiap wajah hadirin. Pasti anak-anaknya, bisik hati kecil Hanis. Hanis baru pertama kali bertemu dengan Mak Yati. Sebelum ini dia hanya mendengar nama itu diulang sebut oleh emak. Mak Yati lebih muda daripada emak. Emak kadang-kadang ikut membantu Mak Yati melaksanakan tugasnya. Program ini pun menurut emak adalah hasil cadangannya pada mesyuarat jawatankuasa wanita kawasan bulan lepas. Program hari itu penting bagi melahirkan generasi pelapis yang boleh memenuhi tuntutan fardu kifayah. Hanis menangkap isyarat muka Mak Jah memintanya memulakan majlis. Dia merapati mikrofon dan memohon tetamu memenuhi ruang yang besarnya lebih sedikit daripada sebuah padang badminton. Cukup selesa untuk peserta program yang lebih kurang dua puluh lima orang. Mereka semua duduk di lantai beralas karpet. Memang sengaja diatur begitu tanpa kerusi meja bagi memudahkan sesi praktikal program.
Selesai mengucap salam dan mengajak peserta memulakan majlis dengan al-Fatihah, Hanis mengalu-alukan kedatangan peserta yang semuanya perempuan. “Alhamdulillah, syukur kerana kita diberi kesempatan untuk hadir dan belajar tentang pengurusan jenazah bersama seorang yang cukup berpengalaman dan terlatih, Ustazah Roshayati Samad yang merupakan pengurus jenazah Jabatan Agama Daerah. Orang kata, fardu kifayah ini, seorang buat, yang lain tak payah. Tapi hari ini, kita mahu menyahut seruan berlumba-lumba membuat kebaikan dan menampung kekurangan amal fardu ain kita dengan melaksanakan tuntutan fardu kifayah. Justeru, tanpa melengahkan masa, saya serahkan majlis kepada pembimbing kita hari, Ustazah Yati,” Hanis menyerahkan pembesar suara kepada Mak Yati.
Mak Yati memulakan sesinya dengan luahan rasa rendah diri kerana menurutnya ada di antara peserta yang lebih berpengalaman daripadanya. Ceramah pengurusan jenazah diteruskan dengan adab-adab menziarahi orang sakit.
“Sunat hukumnya menziarahi orang sakit tetapi tidak boleh berlama-lama kerana takut memberatkan pesakit yang perlu berehat dan menyusahkan keluarganya melayan kita. Kalau dalam kitab lama disebut waktunya sekadar memerah susu kambing.” Hanis di sebelah terlopong. “Saya pernah tengok orang perah susu kambing. Sekejap sahaja. Paling cepat lima minit. Paling lama bagi seekor kambing itu, lima belas minit. Ikut kesesuaianlah. Kalau yang sakit itu teman baik kita dan dia minta kita tunggu, bolehlah duduk lama sikit sehingga kira-kira dia selesa dengan ziarah itu,” jelas Mak Yati. Hanis mengalih punggung. Mak cik-mak cik yang hadir hampir semua punya pen dan kertas di tangan. Sibuk mereka mencatat setiap butir yang keluar dari mulut penceramah. Hanis benar-benar lupa hari itu dek terkejar dengan masa. Emaknya turut mencatat. Malang, emak berada jauh daripadanya untuk diminta kertas dan pen. Hanis malu sendiri. Teringat dia teguran dalam kolum agama yang pernah dibacanya. Hari ini, guru datang dengan segala macam alat bantu mengajar sedang pelajar berlenggang-kangkung. Dahulu, guru yang datang dengan tangan kosong dan pelajar sibuk dengan buku dan alat tulis. Sudah jadi terbalik sekarang. Hari ini, penceramah terutamanya yang bercakap tentang agama kadang-kadang hampir jadi badut di pentas mahu memastikan pendengar seronok dan mahu belajar. Kalau tidak menarik dan meriah, jangan harap mendapat sambutan. Majlis ilmu jadi enteng pada kaca mata segelintir orang muda kerana ia tidak punya ciri program kegilaan mereka; cool, havoc dan happening. Hanis sendiri sukar mentafsir keinginan sebenar mereka di sebalik frasa itu.



Hanis kembali mendapatkan dirinya yang menerawang. Mak Yati sedang menyenaraikan tanda-tanda yang kelihatan pada orang yang sudah dekat waktunya dijemput pulang ke negeri abadi; lurus tapak kakinya, tunduk hidungnya, renggang sendi pergelangan tangannya dan lekuk pelipisnya. Anak perempuan kecil Mak Yati di sebelah sibuk mengunjuk kakinya yang diluruskan, menggoyangkan lengannya, menolak hidungnya yang pesek dan menyentuh pelipisnya. “Waktu itu, kalau dia masih belum berwasiat, minta dia berwasiat. Wasiat ni bukan tentang harta sahaja. Ingat apa yang Nabi sebut sebelum kewafatan beliau? Umatku, umatku. Apa maksudnya? Nabi sangat mementingkan kesejahteraan umatnya. Risau kalau kita tergelincir daripada ajarannya. Nabi mahu kita sama-sama bersama dia di syurga. Justeru, kita boleh juga meninggalkan pesan berguna untuk yang bakal ditinggalkan ”
“Kemudian bila kita nampak dah nazak, ajar dia mengucap. Tidak perlu panjang-panjang. Cukuplah dengan lafaz Lailahaillallah atau kita bisikkan kalimah Allah di telinga. Sebahagian yang lain, minta baca surah Yasin dan al-Ra’du. Wajib kita bagi dia minum kalau dia minta. Jika tidak, sunat kita beri. Boleh dititikkan ke mulutnya atau ambil kain, basahkan bibirnya. Apabila sudah berpisah jasad dari ruh, raup matanya, ikat dagunya, salin bajunya dan tutup dengan kain bersih. Letak mayat di tempat yang tinggi dan senamkan kaki dan tangannya supaya mudah dimandikan.”



Hadirin makin rancak mencatat. Mak Yati menyambung, “apabila meninggal seseorang, wajib bagi kita yang hidup menyempurnakan empat perkara ke atasnya. Mandi, kapan, solat dan mengebumikannya. Ingat, yang wajib tentang mandi ini, dua perkara; membersihkan segala najis pada mayat dan menyampaikan air pada seluruh badannya. Perkara yang lain-lain itu seperti bilas dengan air kapur barus, air akar sintok, air daun limau purut hanya sunat. Tak perlulah kita berbalah kalau berbeza bahan atau sibuk mencari benda yang tiada. Segerakan mandi dan jangan merumitkannya. Cik Bib mengangkat tangan bertanya, “ apa kelebihan kapur barus dan akar sintok?” “Melalui pengalaman saya, air kapur barus ni boleh melambatkan mayat dari busuk manakala akar sintok atau nama lainnya beluru memang biasa digunakan oleh orang-orang dahulu untuk membasuh rambut. Akar yang masih baru, kalau diramas akan mengeluarkan buih. Kita yang hidup ini pun bagus pakai. Boleh menguatkan rambut, ” Mak Yati menunjukkan akar sintok yang berwarna coklat kekuningan. Hanis menutup mulut yang separuh terbuka. Teruja dapat melihat sendiri Entada Spiralis dari keluarga Leguminosae yang sebelum ini hanya dapat dilihat ilustrasinya pada pembalut syampu.

Mak Yati kemudiannya menunjukkan cara memandikan mayat secara terperinci. Anaknya yang kecil dijadikan model.
“Kalau boleh, biarlah ahli keluarga sendiri yang uruskan mayat. Buruk aib, hina celanya terpelihara daripada pengetahuan orang luar. Biar kita yang simpan. Alhamdulillah, saya anak-beranak menguruskan sendiri mayat suami saya. Saya dapat berita kematiannya semasa saya sedang memandikan mayat di hospital. Sudah sampai waktu dia bertemu Tuhan. Saya redha.” Ada genang di tabir matanya. Majlis khali, sama-sama mengesani sebak dalam tutur Mak Yati. Hanis memandang kedua-dua anak Mak Yati. Ah, apakah dia akan dianugerahkan sabar dan redha saat hilang orang tersayang dari sisi? Dia belum diuji sehebat itu.
Selesai praktikal mandi, mereka beralih kepada urusan mengapankan mayat. Kali ini, anak gadis Mak Yati pula menggantikan adiknya sebagai model. Kain kapan lima helai yang telah dipotong sebelum praktikal mandi dibentang. Mak Yati cekatan menunjuk cara meletak kapas, menabur serbuk kapur barus dan serbuk pacai hinggalah membalut kain kapan pada tubuh mayat. Kalau tersilap memotong kain, serongkan atau sesuaikanlah dia dengan ketinggian mayat. Jangan sampai terpaksa membeli kain baru. Kita yang silap, si arwah yang difitnah. Itu pesan Mak Yati. Hadirin mula menghujankan soalan demi soalan. “Bila nak tabur serbuk warna kuning, hmm..serbuk cendana?” Soalan dilontar bersahaja. “ Pacai itulah cendana. Dulu, masa kecil, datuk saya akan balut tangan saya dengan kain. Kemudian, saya disuruh kikis kayu cendana itu dengan kaca. Sekarang mudah, beli sahaja serbuknya di kedai.”
“Macam mana dengan kacang hijau yang selalu orang buat berzikir masa menguruskan mayat? Orang-orang tua selalu buat.” Mak Yati senyum sambil berseloroh menjawab,“kalau tiada orang tua, tiadalah kita yang muda ni. Mereka buat begitu dulu untuk elak orang berbual masa melawat jenazah. Kita yang faham ini, cukuplah mulut kita sentiasa berzikir, tidak perlu berbuat sebegitu. Lagi satu, kalau orang minta tinggalkan kain sedikit untuk balut batu nisan, beritahu dia, mufti dah haramkan perbuatan tu.” Mak Yati melanjutkan pesanan dengan ingatan agar turut serta menunaikan solat jenazah. “Bagi yang tidak berstoking, turunkan sedikit kain yang kita pakai untuk tutup kaki. Solat jenazah tiada rukuk dan sujud yang akan menyebabkan aurat terselak. Jangan sebab tak bawa telekung, kita terlepas pahala solat jenazah.”
“Selalu kalau orang cium jenazah, apa yang biasa kita dengar...? Jaga air mata. Jangan sampai menitik ke muka mayat. Salahkah? Tidak mengapa sebenarnya. Siapa yang tidak sedih dengan kematian orang yang disayangi. Apa yang dilarang adalah meratap dan meraung-raung.” Hadirin mengangguk-angguk. Hanis ikut sama. Puas. Hari ini dia jelas dengan segala macam kekaburan sebelum ini.



Hanis mewakili hadirin mengucap terima kasih pada Mak Yati sebelum menutup majlis dan menjemput semua tetamu menjamu selera. Segera dia mendekati Mak Yati, memeluknya dan mengucap terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat itu. Datang Nek Mah, wanita tua dalam lingkungan tujuh puluh tahun yang ikut dalam majlis hari itu. “Ambil ni. Aku dah lama niat nak bagi kau,” Nek Mah menyuakan beg berisi baju kepada Mak Yati. Mak Yati sambut juga hadiah tersebut setelah puas menolak. Hanis memerhati segalanya. Entah apa niat Nek Mah, dia tidak tahu. Entah kerana mahu bersedekah pada Mak Yati yang baru menjadi balu atau kerana tanda terima kasih atas ilmu yang dikongsi. Apa yang pasti, Hanis cukup senang melihat kemesraan yang terjalin. Budaya memberi yang tulus dari sudut hati. Dia dapat membaca keikhlasan dari wajah Nek Mah. Tahadu tahabu. Hanis ingat sabda nabi itu. Saling memberi memang menambah kasih sayang. Nilai yang semakin susut hari ini. Teringat dia niat mahu menghantar kuih daripada air tangannya kepada jiran-jiran rumah sewanya di Kuala Lumpur yang masih tidak terlaksana.
Usai makan, mereka bertolak pulang. Kali ini Nek Mah dan dua orang wanita lain ikut balik sekali. Cik Bib sempat berpesan dalam perjalanan, “Ude, kumpul budak-budak muda yang tengah cuti universiti ni, buat program. Masa ni lah nak belajar hidup bermasyarakat, kenal orang kampung.” Hanis diam. Kalau bukan kerana dua orang anak Mak Yati yang turut hadir menemani ibu mereka, memang dialah orang paling muda dalam majlis tadi. Hanis mencongak dalam kepala membayangkan wajah teman-teman sekitar usianya. Dia hadir kerana ajakan emaknya. Dia tidak kekok dikelilingi orang yang lebih tua daripadanya kerana sejak kecil sudah dibiasakan mengikuti majlis-majlis di kampung. Sudah biasa bergaul. Mahu menyalahkan orang-orang muda sepertinya kerana tidak tahu memasyarakatkan diri pun tidak menyelesaikan masalah. Hanis juga jarang melihat teman-teman emaknya membawa anak-anak mereka hadir sekali ke mana-mana majlis. Kecil-kecil tidak dipaksa memang sukar membiasakan diri waktu dewasa. Hanis mengeluh berat.
Pajero memasuki simpang ke rumah Nek Mah. “Sini..turunkan aku di sini. Aku letak basikal dekat rumah depan tu. ” Cik Bib brek mengejut. Nek Mah turun. Rupa-rupanya dia datang berbasikal dari rumah hingga ke simpang menuju jalan besar. Kemudian menumpang orang lain ke Rumah Berkat. Pajero meluncur meninggalkan Nek Mah mengayuh tenang membelah panas matahari. Ah, cemburunya Hanis pada cinta ilmu yang segar di sebalik tubuh tua itu! Apa dia akan dikurniai nikmat itu waktu diri menjengah senja sedang jiwa muda ini pun selalu berperang melawan malas. Hanis menoleh. Kelibat Nek Mah sudah hilang dari pandangan. Memang lumrah, daun tua yang biasa gugur tapi bukan pelik jika yang muda ikut mencium bumi. Hanis terbayang kain putih menari. Terbayang kuning cendana. Ya, pacai itu sedia berkhidmat pada siapa pun tanpa syarat umur, tanpa had waktu.







BACA SELENGKAPNYA - Pacai itu Cendana
Back to Top