0

Jom Buat Selepas Ramadan

Ha nahnu nuwaddi’u Ramadan..itulah permulaan sayu khutbah Jumaat minggu lalu. Kita telah mengucapkan selamat tinggal kepada bulan penuh keberkatan. Kita, atau Ramadan yang mengucapkan selamat tinggal kepada kita sebenarnya?

‘Ala kulli hal, eloklah kiranya kita bertanya kepada diri resolusi Ramadan kali ini. Saya, walau sudah merancang-rancang dalam kepala beberapa perkara, dek kekangan assignment dan hambatan peperiksaan yang kian hampir, masih tidak sempat menyusun, menulis apatah lagi mematuhinya dengan teratur. Tapi saya benar-benar mahu mengubah beberapa pendekatan saya terhadap sesetengah perkara.

Apa yang dapat saya simpulkan dari Dr Mumtaz, pensyarah Islamic Critical Thinking saya, ada dua factor yang membawa kepada kejayaan mereka yang ingin berubah atau ingin mengubah sesuatu. Mengubah dunia mungkin? Pertama, kefahaman. Kedua, keberanian. Faktor kedua ini jarang ada pada kebanyakkan orang. Dalam sejarah dunia, Imam Khomeini adalah contoh seorang yang berani berdasarkan tindakan-tindakannya dalam ketika Revolusi Iran. Ya, ramai orang punya cita-cita, punya keinginan mencorak sekeliling mereka tapi berapa ramai yang mencapai target. Benar, kejayaan bukan isunya tapi usaha itu yang akan dikira dan dinilai. Tapi siapa yang tidak mahu berjaya, kan?

Apapun, biarlah saya kongsikan dahulu 7 perkara yang disebut khatib Jumaat lalu sebagai resolusi Ramadan yang harus diusahakan bagi memastikan kesinambungan tarbiah Ramadan berkekalan hinggalah kita bertemu Ramadan seterusnya.

1) Sentiasa memohon hidayah agar terus istiqamah. Beramallah dengan doa

{رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ }آل عمران8
2) Sentiasa menghadiri majlis ilmu dan mendekati orang-orang soleh (suhbatul
ulama’).
3) Menjaga amalan sunat walaupun sedikit. Bukankah amalan yang disukai Allah
itu sifatnya berterusan walupun sedikit.
4) Segera mengganti puasa yang tertinggal dan segera bertaubat dari dosa-dosa
samada kecil atau besar.
5) Perbanyakkan berzikir dan beristigfar.
6) Membaca sirah para sahabat dan orang-orang soleh. Mengenali mereka dapat
membangkitkan semangat terhadap amal soleh.
7) Istiqamah dengan bacaan al-Quran dan mulalah menghafalnya.

Khatib menitipkan pesan salafussoleh; seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenali Allah kecuali pada bulan Ramadan. Moga Allah jauhkan kita daripada sifat ini.

Terlanjur menulis, saya ingat seorang guru berpesan, untuk orang-orang bujang terutamanya, banyakkanlah menghadiri majlis ilmu agar bercahaya wajah.:). Betul juga menurut saya. Mendengar ilmu, hati tenang, terbang gelisah. Tidaklah cepat dahi berkerut. Ubat awet muda yang mujarab. Moga Allah kekal mencampakkan rasa cinta ilmu ke dalam hati-hati kita hingga saat kita bertemu Dia. Saya selalu takut, saya hilang minat pada buku-buku dan majlis ilmu. Melihat buku-buku di khutub khanah UIA, saya berharap-harap dalam hati agar saya tidak pergi jauh dari dunia itu. Saya mahu fasa-fasa hidup saya dipandu dengan ilmu bukan sembrono berfikir dan membuat keputusan tanpa panduan. Terima kasih kepada Dr Mumtaz. Saya sangat teruja untuk terus mendengar kuliah-kuliah beliau tentang pemikiran kritikal menurut perspektif Islam. Maaf, saya harus berhenti. Harus studi untuk peperiksaan subjek itu Jumaat ini. Doakan saya.
BACA SELENGKAPNYA - Jom Buat Selepas Ramadan
0

Cerita Cinta dan Cita-cita

“Prol, ayah kau pesan pada ibu, belanja sekolah itu memang makin mahal tapi kalau anak kita punya cita-cita, duit itu bukan masalah kerana cita-cita itu akan memandu hidup anak kita,” jelas Bu Endang akan keengganannya untuk berkahwin dengan Pak Aji kepada Saprol.
“Kalau kamu punya anak, jadi seperti Bu Endang. Pelihara cita-cita anak kamu,” pesan Pak Haji kepada menantu dan anaknya, Fendi dan Sarah dalam genang air mata meredakan Bu Endang berhijrah. Petikan dari : Drama Kiamat Sudah Dekat

Apa cita-cita Saprol? Mahu jadi rocker. Pada Bu Endang, mempunyai anak yang punya cita-cita tidak kira apa cita-citanya adalah satu keberuntungan. Harus diusahakan cita-cita itu.

Saprol? Saprol akhirnya kerana berat untuk berpindah, meredakan ibu untuk berkahwin dengan Pak Aji. Kerana padanya, kalau berpindah pun belum tentu dia akan jadi rocker nanti. Cita-cita akan berubah. Kalau berbapakan Pak Aji, pasti tak perlu pindah. Hidup lebih mudah.

Pada Bu Endang, soal perkahwinan dengan Pak Aji masih samar. Hari ini, keputusan harus dibuat atas apa yang jelas dan yakin. Dia tidak harus bermain dengan sesuatu yang tidak pasti. Soal hati, memang payah dan lambat pula prosesnya.

Pak Aji, seperti Bu Endang. Kerana dia sendiri tidak pasti akan perasaannya. Akan keputusan terbaik terutamanya soal cinta /perkahwinan di usia tua ini. Lalu, memutuskan untuk meneruskan hasrat ke Tanah Suci Mekah bersama anak menantu dan kawan-kawan mereka tanpa memikir soal Bu Endang. Apa yang ada di tangan itu diusahakan. Apa yang masih samar dalam pertimbangan akal biarpun mungkin sudah lama jelas tertulis dalam takdir Ilahi harus diketepi dahulu.

Itulah akhirnya episod 1 siri ini. Ini kali kedua saya menonton ‘ending’nya. Pertama di TV9 dan kedua ini di saluran Suria, Singapura. Tapi kenapa ya, tak tertangkap isu di atas waktu nonton kali pertama.

Itulah cita-cita dan keyakinan kita pada Tuhan.
BACA SELENGKAPNYA - Cerita Cinta dan Cita-cita
0

Detik akhir ini, teman



Teman,
Sisa Ramadan yang tinggal ini, apalah kiranya kita tinggalkan masa rehat yang mampu kita perolehi di bulan-bulan akan datang. Teman, anugerah Ramadan ini cuma setahun sekali. Apalah kiranya kita lawan sedikit rasa kantuk dan penat kita. Baki bulan-bulan akan datang panjang lagi kalau kita terlalu takut hilang rehat dan kesenangan badan.
Teman,
Ramadan sudah bersiap-siap mahu pergi. Teman, waktu-waktu akhir ini tidak mahukah kita berlama-lama, memanjangkan malam kita bersamanya. Tilam empuk di sudut bilik itu, kalau memang rezeki kita sepanjang hayat, bukan milik sang pencuri, akan tetap di situ. Tidak beranjak biar kita membiarkannya sendiri.

Teman, indah malam-malam akhir ini, tenggelam dalam bacaan tenang, teratur, penuh penghayatan Imam apa tidak sedikit pun menguis hati kecilmu untuk turut serta? Teman, tarawih itu merehatkan kita sebenarnya. Rehat dari sebarang kacau dunia yang banyak memakan siang dan malam kita.
Ingatkah kau saat Rasul tercinta berkata kepada Bilal – Arihna ya Bilal, Arihna. ((rehatkanlah kami wahai Bilal dengan azanmu yang menandakan solat akan didirikan).
Solat itu benar-benar penyembuh untuk risau yang bersarang di taman hati. Solat itu benar-benar penawar untuk racun cinta dunia yang telah memamah imuniti iman kita.

Teman,
Aku pohon, berilah sedikit perhatianmu buat Ramadan yang bakal pergi ini. Sebentar sahaja teman, sebentar. Tidak lama.. Dia akan pergi. Berilah.. supaya hilang rasa bersalah ini melihat dan membiar ruh Ramadan malap di hati-hati kita. Teman, aku pohon.
BACA SELENGKAPNYA - Detik akhir ini, teman
3

Semarakkan Cinta

(Catatan lama yang saya muatnaik kembali)

Ramadan menghampar redupnya. Perlahan memayung hati-hati panas, keras. Ah, waktu menyemarak cinta ini diam-diam terlalu cepat mahu pergi. Sedar-sedar sudah 10 hari dia membentang hamparan cinta,menghembus alun rindu. Bersambutkah cinta seperti selayaknya ia dirai.

Saya sekadar mahu menitip satu dua bingkisan yang saya kutip saat bersinggah menadah ilmu dari kuliah-kuliah di masjid selepas asar. Benar membuat hati tersenyum. Benar, membuat hati tersasar mencari arahnya diri.

1)
Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"
Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
(Surah To Ha: 17-18)

2)Anas ditanya pada satu ketika, adakah nabi memakai cincin perak.Lalu beliau menjawab, Tatkala Nabi ingin menulis surat kepeada orang Rom beliau telah diberitahu bahawa mereka tidak akan membaca mana-mana surat melainkan ada cop keatasnya, maka baginda pun mengambil cincin peraknya, Ia bagaikan seperti aku melihat sesuatu yang berkilat di tangannya, dan diukir dengan perkataan Muhammad Rasulullah”

Us. Abu Laith menyebut" Lihat, kepada kedua-dua jawapan. Bukankan soalan itu ringkas. Nabi Musa hanya perlu jawab: tongkat. Dan Anas hanya perlu jawab, ia. Tidak perlu dipanjangkan dengan cerita kegunaan tongkat mahupun ulasan tentang berkilaunya cincin itu.

Tapi, itulah namanya cinta. Apabila kita cintakan sesuatu, kita suka menyebut tentangnya. Kalau kita cintakan seseorang, kita suka berlama-lama saat bicara dengannya. Lihat bagaimana Nabi Musa memanjangkan bicaranya. Lihat bagaimana Anas bercerita penuh.

Mari kita bercerita tentang al Quran. Apa pesan ulama'?

Bacalah al Quran seperti al Quran itu turun pada kamu.
Bacalah al Quran seperti kamu membaca surat dari kekasih.
Bacalah al Quran seperti seolah-olah kamu sedang berbicara dengan Allah.

Ah, kekasih mana yang lebih hebat cintanya dari Dia, Yang Maha Pengasih.
Surat, buku mana yang lebih indah bahasa dan diksinya dari Kalam Dia Yang Maha Sempurna dan Tahu setiap keperluan hamba.
Bicara yang tidak pernah membosankan, selalu saja menggetarkan biar beribu kali diulang.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
BACA SELENGKAPNYA - Semarakkan Cinta
0

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan

BACA SELENGKAPNYA - Ahlan Wasahlan ya Ramadhan
0

Sayyidul Ayyam

Jumaat telah dididik untuk diingati sejak kecil. Lebih-lebih lagi waktu itu, cuti umum belum ditukar kepada Sabtu dan Ahad. Hari Jumaat, memang ditunggu kerana emak akan menyediakan hidangan yang lebih istimewa. Masih tersimpan dalam kotak fikiran pesan seorang guru supaya sedar kalau hari yang sedang dilalui itu adalah hari Jumaat. Bukankah kita selalu bertanya; hari ini hari apa ya, yang menandakan ketidaksedaran kita terhadap perjalanan masa yang pantas. Seorang perempuan seperti saya lebihlah lagi. Tidak wajib menghadiri solat Jumaat. Justeru, kemungkinan untuk ‘tidak sedar’ itu lebih tinggi berbanding orang lelaki yang tidak culas menunaikan kewajipan itu.

Siapa yang mahu lupakan Jumaat kalau punya hajat kerana termaktub dalam hadith; padanya satu waktu yang tidak ketahui, jika berdoa pasti dikabulkan. Entah kenapa Jumaat hari itu menggamit hati untuk turut bersama jemaah dunia Islam kecil UIA bersolat Jumaat. Jujurnya, saya tidak pernah menghadirinya sebelum ini di Malaysia kerana memanglah bukan kebiasaan kita yang perempuan ini. Saya belajar ikut solat Jumaat waktu musafir di Damsyik. Saya berkunjung ke rumah seorang teman baru. Waktu itu hangat isu karikatur Nabi Muhammad s.a.w dilukis seorang warga Denmark. Gadis Syria itu waktu mahu mencalit mentega dan madu pada roti bercerita tentang pemboikotan mereka terhadap produk keluaran negara tersebut (Mentega keluaran Denmark antara yang sedap dan digemari saya di sana sebelum isu ini meletup). Saya dalam diam malu sendiri kerana waktu mendengar berita dari stesen radio yang tidak saya ketahui namanya tidak tersenarai nama Malaysia sebagai antara negara yang memboikot. Indonesia, ia. Kerana Malaysia itu kecil atau kerana suara tertinggi negara memang tidak menzahirkan itu. Gadis yang lebih muda tujuh tahun daripada saya itu kemudiannya mengajak saya ikut ke masjid. Katanya, kita harus tahu apa seharusnya dilakukan sebagai Muslim dalam menanggapi isu ini. Pasti khatib dalam khutbah akan berbicara tentang ini. Sayang, saya tahu tentang masjid berdekatan yang membuka ruang untuk Muslimat ikut solat Jumaat di musim akhir kembara.

Kembali, khutbah Jumaat dwi-bahasa (Arab dan Inggeris) hari itu membicarakan tentang kelemahan umat Islam hari ini dan faktor yang perlu digembleng bagi memastikan kegemilangannya semula. Khatib berbicara soal penggabungan ilmu dan amal, iman dan amal juga taqwa dan amal. Antara katanya yang seperti dicampak ke muka saya adalah tentang banyaknya buku, makalah ilmiah dan terbitan lain yang terbit saban bulan, saban tahun tapi berapa banyak yang diambil manfaatnya isinya dalam aplikasi hari-hari oleh kita semua. Aduh, buku-buku itu pun saya tak terbaca.

Maaf, rencam tulisan ini. Mahu kembali ke niat asal menulis. Mahu berbicara tentang perempuan. Sejak lama, saya suka memerhati beberapa perkara. Pertama, kaum peremuan yang tidak ‘reti’ berjemaah sesama mereka. Kedua, solat Tahiyyatul Masjid yang diabaikan. Berdasarkan pemerhatian saya, kaum perempuan memang jarang membentuk jemaah apabila solat di surau atau di pusat-pusat membeli belah dengan mengambilkira kawasan yang memang terpisah dari jemaah lelaki. Di situ, selalu saya buat kesimpulan pendek, patutlah orang lelaki jadi ketua kerana sifat kepimpinan itu selalu terserlah di mana-mana. Kenapa ya, kita yang bernama perempuan ini (terutamanya saya) tidak mahu berebut pahala berjemaah itu.

Tentang solat apabila masuk masjid. Perempuan lagi. Maaf, mata saya tidak mampu tembus ruang solat lelaki, justeru tidak masuk dalam pemerhatian. Solat ini bukanlah satu kewajipan. Tetapi menurut saya, ia sunat yang harus jadi adab. Kita tidak dibiasakan sedari kecil lalu terbiasa bila dewasa, kan? Di UIA, bangsa lain agak patuh dalam hal ini berbanding orang kita yang masuk dengan makanan ke dewan solat lalu terus dihadap atau terus meletak badan melepas lelah. Saya juga bertanya kepada diri mengapa ruh masjid itu jarang hadir dalam diri kita-kita ini. Ini antara pelajaran yang saya kutip dalam kembara dulu. Di sana, setiap kali nampak masjid teringin mahu memasuki dan rasa rugi kalau tidak dapat solat Tahiyyatul Masjid di dalamnya. Saya yang mendikriminasi masjid di sini atau apa ya? Anda bagaimana?
Kembali kepada sikap teman terhadap solat jumaat tadi, saya tidak fikir, kita punya ramai warga remaja terutamanya lelaki yang akan menunggu-nunggu Jumaat untuk mengambil intipati bicara khatib bagi menguatkan diri menghadapi cabaran Muslim hari ini. Teruja melihat warga dunia Islam kecil UIA yang sama-sama tunduk dalam satu jemaah kemudiannya bercempera usai solat menuju hala masing-masing manakala sebahagian yang lain membentuk negara-negara kecil mereka; mengambil berkat waktu Jumaat, bertemu mencari sepakat.
BACA SELENGKAPNYA - Sayyidul Ayyam
0

Wajah Ogos

Itu darah panas mengalir
Dari tubuh si mungil yang tidak mengerti apa
Berbaur bersama alir sendu deras ibu muda
Baru merasa bahagia punya anak penawar derita
Hari-hari kejam sengketa dua negara
Meraut ropol
awan hitam
Di langit... Georgia

***************
Lelaki tua,
Kerut bergaris di muka
Penuh mengah nafas dihela
Dengan sorot mata kuyu
Menghantar pesan pada bayu
Yang bertamu membawa rindu
Pada al Quds kiblat dahulu
Jangan biar kami mati
Dalam penjara terbuka...Genting Gaza

***************
Peluk berbalas
Maaf bertukar
Senyum menghantar
Menutup gusar
Pasrah disandar
Pada Yang Maha Tahu
Entah itu salam terakhir
Kerana sekali melangkah
Jarang yang pulang megah
Lebih ramai yang rebah
Di susur... kota Basrah

***************

Sana forum
Sini seminar
Sana duka menerbit bara
Ditiup jadi menyala
Sini ceria menyebar bahagia
Dikongsi menambah pasti
Antara gelap dan terang
Iman itu ukuran
Akidah bukan gadaian
Jangan digugat harmoni
Atas suatu bernama demokrasi
Telah termateri
Kita belajar menghormati
Saat dibentuk pertiwi ini
Tak mahu berulang lagi
Cerita ngeri
Kita berbunuh sama sendiri

*****************
Disingkap terselak
Dicanang terbuka
Aib bukan rahsia
Dua wira beradu sasa
Memanjat tangga takhta bendahara
Kau Jebat yang derhaka
Dia Tuah nan setia
Saudara!
Ini Sya’ban
Akhlak Muslim yang kita pajak
Tebus kembali di musim Ramadhan
Damai...damailah

-Catatan dari
Sungai Pusu
yang mengalir lesu-
BACA SELENGKAPNYA - Wajah Ogos
0

Gaji Lebih untuk Lelaki?

Saya bukan tradisionalis yang tidak bersedia menerima perubahan jauh sekali mahu menjadi feminis yang hilang panduan menuntut hak yang sebenarnya sedia terbahagi secara adil dalam al-Quran. Adil tidak bermaksud saksama. Sesuatu yang menarik apabila membaca pendapat Tuan Guru Nik Aziz tentang ‘skim gaji Nik Aziz’ jika beliau menjadi perdana menteri dengan slogan ‘gaji lebih untuk lelaki’. Tuan, hamba ini tidak cemburu malah berbunga-bunga hati membaca kerana hamba tahu tuan bercakap tentang memastikan fungsi dan tugas asal seperti yang disyariatkan. Biarlah hamba perturunkan di sini bicara tuan yang bijak laksana:
“ Orang yang bertanggungjawab lebih banyak patut mendapat lebih. Anak lelaki diberi hak sebegitu kerana dia akan berkahwin dan menyara isteri serta keluarga pula. Tanggungjawab lelaki memberi tempat tinggal, pakaian dan makanan kepada isterinya. Apa yang dilakukan perempuan sekarang yang turut bekerja sebenarnya bukan tanggungjawab mereka tetapi pilihan sendiri. Lelaki yang wajib bagi nafkah.”
(Mingguan Wasilah, 17-23 Ogos 2008, ms46)

Jujurnya, waktu isu-isu ketidakadilan terhadap wanita cuba saya fahami waktu zaman kampus dulu, hampir tergelincir hati menurut emosi. Astaghfirullahlah. Tambah lagi semaraknya bila masuk kelas Sejarah Wanita yang antara pensyarahnya ialah Dr Ramlah Adam(Ada tiga orang pensyarah bergilir-gilir mengikut minggu untuk subjek ini dan seorang tutor). Saya ingat bagaimana saya bergegas mendekati Dr. Anisah, pensyarah Jabatan Fiqh apabila ternampak beliau sebaik masuk ke kafe Akademi Islam. Saya tanyakan kepadanya, tidakkah boleh hukum faraid itu berubah kerana fungsi dan tanggungjawab berubah. Lihat sahaja berapa ramai perempuan yang terpaksa menanggung keluarga akibat lelaki yang cuai terhadap tanggungjawabnya. Justeru, hak itu harus diberi kepada perempuan. Dr. Anisah laju menjawab saya, “yang harus dikembalikan adalah fungsi setiap lelaki. Yang harus diubah adalah sikap dan rasa bertanggungjawab lelaki yang hilang. Bukan hukum yang termaktub.” Saya terhenyak. Benar, apabila masalah timbul, kita harus menyelesaikannya dengan kembali ke akar masalah. Bukan menutup ini dengan itu atau mengubah yang tidak berkaitan dengan punca masalah.
Kenyataan Tuan Guru itu sekiranya diketahui bisa sahaja membuat ramai sakit hati. Akan dibentangkanlah kes-kes tuntutan nafkah yang tertunda, aduan keganasan rumah tangga, jumlah janda yang perit menjadi ketua keluarga dan pelbagai lagi data yang menunjukkan betapa tidak layaknya makhluk yang bernama lelaki ini diberi gaji lebih tinggi. Pendek kata, tak cukup kertas mahu ditulis fakta.

Apa pun seperti yang saya katakan tadi, kita harus kembali ke akar masalah. Yang bernama perempuan ini pasti tak punya masalah menerima cadangan tadi sekiranya yang bernama lelaki itu bermula waktu melafazkan akad menerima isteri sudah menetap tekad dalam hati untuk penuh usaha melaksana tanggungjawab sebagai suami menurut panduan Ilahi.

Soal perempuan keluar bekerja dari sudut hukumnya, tidak perlu saya bahas di sini kerana ia sudah maklum. Cuma saya kira, masyarakat kita memang berfikiran; rugi kalau sudah belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya sekadar duduk rumah membancuh kopi. Benar, apa guna ilmu kalau tidak dikongsi. Saya juga fikir begitu dahulu. Mahu belajar setinggi yang boleh, kemudian jadi wanita berkerjaya yang dinamik, elegan dan lain-lain lagi sifat yang hebat-hebat malah mahu jadi menteri. Tapi fikrah ini berubah apabila saya mula menyandang jawatan-jawatan tinggi bermula di sekolah menengah. Sebagai senior dan ketua, ramai yang merujuk dari masalah pelajaran, percintaan hinggalah ke masalah keluarga. Saya kemudiannya mula mencari kesimpulan terhadap masalah-masalah yang diutarakan hingga mengambil pendirian sekiranya saya punya pilihan untuk tidak bekerja, maka itulah pilihan utama saya. Saya sendiri merasa bagaimana hidup dalam keluarga besar yang jumlah adik-beradik cukup untuk satu pasukan bola sepak dan seorang pengurus manakala emak bekerja serta aktif dalam politik kawasan. Alhamdulillah, tarbiah emak sejak kecil menguatkan kami adik-beradik. Tapi saya tidak nafikan ada saat-saat yang sukar hingga saya pernah mohon pada emak supaya berhenti dari aktif berpolitik.

Dengan perkembangan semasa hari ini, saya kira adalah perkara biasa untuk melihat seorang wanita berjaya dan diiktiraf kejayaannya sebagai ibu, pekerja juga ahli politik. Dan wanita memang mampu melakukan itu apabila dia mencapai satu tahap stabil dan matang dari segi emosi. Dia akan punya kekuatan dalaman yang sangat kuat waktu itu. Syabas untuk yang berjaya melepasi halangan-halangan dalaman untuk pergi sejauh itu. Saya? Saya entah kenapa, serasa seperti baru bermula semula untuk memproses semua yang tersimpan di minda sejak dulu hingga kini untuk melihat kembali perancangan hari esok...
BACA SELENGKAPNYA - Gaji Lebih untuk Lelaki?
0

Hadiah untuk Diri

Entah bagaimana saya sudah terhenyak di kerusi kuning dalam dewan sederhana besarnya di DBP. Entah apa juga yang membuat hati saya sekuat itu pagi-pagi sudah mengatur langkah bersendirian mencari halanya tempat berlangsung diskusi buku dan antologi puisi mantan MPR. Saya bukan di kalangan mantan juga bukan pelajar jurusan sastera yang dipaksa hadir mendengar bicara berbelit tentang seni penulisan yang sukar dihadam minda. Saya cuma khalayak peminat sastera yang baru mahu bertatih melangkah masuk ke dunia itu bukan sekadar pemerhati tapi pemainnya.

Sebenarnya niat saya hari itu hanyalah mahu menghadiahkan cuti kepada diri daripada tugasan kuliah yang menuntut masa penuh saya mengulit buku demi buku. Saya segan mahu pergi sebenarnya apalagi tidak berteman. Tapi hati menempelak. Kalau di negara orang dahulu saya tidak pernah malu berpergian sendirian menyusur jalan di tempat asing, mengapa saya harus sebaliknya di tanah air saya sendiri. Tujuannya sama kan, belajar daripada ‘pengalamian’ terhadap suasana dan manusia yang mengitari dunia itu. Maka, harus malukah saya untuk belajar. Malu akan membuat saya rugi seperti yang sering dihadapi di kampus sekarang. Ada banyak perkara yang kadang-kadang kita akan belajar dan dapat lebih jika kita melepasi sempadan bernama malu itu. Segan bercakap, segan menegur orang, segan bertanya, segan memperkenalkan diri, segan berkongsi isi kepala dan mengungkap idea, segan untuk kelihatan berani dan banyak lagi segan...Kasihan pada diri yang minta diisi dan dipenuhi dengan segala bentuk makanan minda. Tapi si malu itu sangat kuat mendominasi.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya untuk hari itu ‘si malu’ sedikit malas melawan dan terlepaslah diri saya ke majlis itu. Bertemu Ummu yang baru pulang dari umrah (itu antara faktor yang kuat melawan malu) di pintu masuk dewan sibuk dengan buku-buku jualan kedainya sendiri. Saya tenung Ummu. Entah, ada rindu menyorok malu di sudut hati. (Malu lagi...) Tak terungkap kata saya. Mahu berkongsi rindu pada Dimasyq. Kak Dayah sudah pulang ke Kedah. Saya hilang tempat mengadu gumpal rasa yang sesekali datang bertandang. Usai majlis baru saya dapat berbicara dengannya sedang dia sibuk menyusun buku ke dalam kotak. Cerita biasa orang bujang mewarnai.:) Masalah kita sama kak, ujarnya.

Mahu berkelana ke mana pula selepas ini, tanya saya. Ke Solo mungkin. Akak, tahun depan kita ke Suria...? Boleh, bila akak dah habis kelas, kita ke sana. Akak nak menulis tesis di sana. Jawapan bersahaja melayan rindu. Biarpun belanja bulanan pun masih tanggungan emak dan ayah. Berangan tidak ada salahnya. Kembara saya ke Syria dua tahun lalu pun asalnya cuma angan sejak di tingkatan 4.

Saya temui kembali Dr Amida Abdul Hamid atau Kak Anis yang pertama kali bertemu dengannya waktu Forum al Quran dan Sains minggu lalu. Hati kuat mengiakan yang beliau adalah Kak Anis (salah seorang kolumnis Anis) waktu melihat beliau menghampiri meja pendaftaran yang diurus saya dan seorang mak cik. Entah kenapa hati sungguh terpesona melihat beliau. Bersungguh mencatat dan mendengar penjelasan ustaz Abu. Bicara tentang kejadian manusia dan hadis berkaitan kebangkitan manusia yang diulas daripada pandangan ilmu sains biologi juga kehidupan tumbuhan hari itu benar-benar mengujakan. Saya berterima kasih pada mereka yang hadir untuk bersama memahami isi al Quran dan Hadis terutamanya mereka yang datang setelah membaca artikel saya bertajuk Fahami Mukjizat Al Quran dalam majalah Anis bulan Julai. Terima kasih juga pada editor yang sudi menyiarkannya. Saya beroleh semangat untuk terus menulis. Juga untuk Kak Anis yang menghadiahkan saya buku tulisan beliau 'Kasih disemai Sayang dituai' pada program di DBP semalam. Pesannya menakutkan saya; ini supaya rajin menulis. Tulis, rajin-rajin menulis. Di atas adalah gambar semasa Forum Sains dr al Quran.

Memang, saya sudah mula menulis. Cuma belum betul-betul berdisiplin. Juga masih menerawang memahami aspek penulisan kerana saya tidak pernah mengikuti mana-mana kursus formal sebelum ini. Di Nilam Puri dulu pernah sekali rasanya, tetapi hanya setengah hari. Tidak banyak yang saya kutip lagipun saya tidak terus melatih diri menulis waktu itu. Sekarang, setelah UM dan zaman sibuk kepimpinan saya tinggalkan dan memberi sepenuh masa untuk pengajian sarjana, saya mula bertanya diri tentang tugas dakwah yang tidak boleh berhenti. Melihat teman-teman sibuk dengan platform dakwah masing-masing sekarang, saya tidak mampu menafikan rasa bersalah dalam diri kerana tidak turut serta setelah segala tarbiah dilanyak ke dalam diri waktu di kampus dulu. Biarlah saya berterus-terang hari ini pada mereka yang menyimpan tanda tanya tentang saya. Benar, saya semakin kedekut dengan masa saya. Maafkan saya. Mohon difahami beban pengajian saya, kelemahan saya yang menuntut saya lebih berusaha. Saya juga berdoa agar dilorongkan jalan-jalan untuk saya terus berkhidmat untuk agama ini sesuai dengan kemampuan saya waktu ini. Mungkin menulis lebih sesuai untuk saya sekarang kerana saya bebas memilih waktu tanpa terikat dengan mesyuarat, pertemuan dan sebagainya. Maaf lagi kalau alasan ini dangkal. Terpulang.

Sesuatu yang harus saya syukuri adalah keteraturan perjalanan hidup yang cantik dalam jadual Allah. Sungguh. Perlahan-lahan saya membacanya. Belum jelas lagi pemahaman saya tentang semua ini. Tapi saya mula melihat kaitan perkara demi perkara yang saya alami. Suka duka hari-hari lalu itu punya makna tersendiri dalam membentuk kedewasaan saya juga memberi lorong untuk saya menjadi saya tahun-tahun akan datang. Sejak tiga empat tahun ini saya tidak ada jawapan yang jelas jika orang bertanya tentang cita-cita. Selalu saya jawab: pensyarah untuk menutup soalan yang seterusnya kalau yang bertanya itu saudara mara. Tapi saya lebih suka menjawab dengan jawapan: mahu jadi suri rumah berjaya, kalau yang bertanya itu rakan-rakan dekat atau seseorang yang bisa saya ajak bicara tentang cita-cita. Saya masih ingat gelengan kepala teman-teman dan ungkapan ‘hilang satu aset produktiviti negara ’ bila saya katakan saya tidak suka bekerja kerana saya mahu punya lebih masa di rumah (menjaga anak- itu sambungannya dalam hati saya. Hahaha) dalam satu majlis reunion. ( Iya ke, ‘minat rempit’ yang sering sibuk dahulu keluar pagi balik menjelang pagi hanya mahu duduk di rumah?) Tapi apa saya punya pilihan zaman gawat begini? Ya barangkali, kalau saya bersedia serius menjadi penulis bebas berdisiplin yang pejabatnya di rumah atau penceramah bebas atau apa ya....
BACA SELENGKAPNYA - Hadiah untuk Diri
0

Kembara Itu (catatan 27 Rejab)



Maka, dibawa Engkau kembara ke alam istimewa selepas mengimami solat di Al-Aqsa yang makmumnya para nabi kesemuanya. Berteman Jibril dari langit ke langit bertemu para nabi pembawa risalah sebelumnya. Saat menyapa Adam a.s di langit pertama, terlihat olehmu wajah-wajah bahagia di sebelah kanan dan raut-raut derita di kiri.
(Lalu di bahagian mana akan kami ikut serta... )

Dari langit ke langit...terus. Di langit keenam bertemu Musa a.s. Bertukar salam dan mahu berangkat terus tapi terhalang akan tangisnya Musa a.s. Gerangan apa tangisanmu, sahabat? Kerana umatmu lebih ramai menghuni syurga dari umatku.
(Dan apakah kami dalam jumlah yang dicemburui itu..)

Bertemu Ibrahim a.s di langit ketujuh. Pesanan indah dititipkan. “Sampaikan salamku buat umatmu. Sungguh, syurga ini indah. Segala-galanya, Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar.” Hilang kata nabi yang telah teruji imannya saat thabat menurut perintah menyembelih anak sendiri tika mahu menggambar suasana.
(Ah, kalaulah engkau tahu yang indah neon malam-malam di kota dunia ini telah membutakan hati merindu taman abadi itu.)

Sidratul Muntaha. Itulah perhentian Engkau bertemu Dia. Pasti tak tergambar indahnya bertemu Dia yang tercinta. Pasti hilang langsung parut pedih Engkau kesan dilontar batu di Thaif. Pasti telah terlupakan saat itu hina maki kafir Quraisy. Pasti terubat pilu hati ditinggal pergi tak kembali dua pendukung kuat Engkau; bapa saudara yang teguh menyokong dan isteri; teman pengubat galau hati, kekasih yang setia berkorban segalanya.

Solat. Itu amanah dari Dia untuk Engkau dan umatmu. Disampaikan terus kepada Engkau tanpa Jibril jadi perantara. 50 waktu. Berkata Musa a.s, itu berat. Umatmu tidak akan termampu. Mohonlah keringanan. Engkau pandang Jibril seperti mohon pandangannya. Jibril tiada halangan untuk menghantar kembali Engkau bertemu Dia. Dia memberi kurang. Tapi saat bertemu kembali Musa a.s, begitu diulang lagi katanya. Lalu berulang-aliklah Engkau naik memohon, turun dinasihati. Lima waktu. “Pergi. Mohon lagi.” “Aku sudah malu dengan Dia” Begitulah, dan kewajipan itu tertanggung atas pundak setiap umat Engkau.

Solat. Kalau bukan kerana banyaknya rahsia dan hikmah di sebalik perlakuan yang dianggap ritual semata oleh banyaknya orang hari ini, pasti tidak sebegitu penyerahannya kepada Engkau. Bukankah ia penawar hati, penenang jiwa resah. Ubat dan vitamin berkala yang sepatutnya memberi stamina pada pelakunya. Punya jumlah tertentu mengikut waktu.

Engkau, sehingga detik akhir sebelum kembali ke pangkuan Dia masih giat mengingatkan tentangnya. Engkau sedangkan sudah meninggalkan kami dengan al-Quran dan Sunnahmu yang banyak memberi khabar akan peri pentingnya yang bernama Solat.

Ya, apa kerana jarak antara kita terlalu jauh, lalu jadilah antara kami manusia yang tidak pernah meletak dahinya ke tanah, asal jadinya. Juga yang pernah ikut tunggang tonggek waktu kecil tapi jadi terlupa sekarang. Kerana tuakah dia? Atau yang memang tahu dan faham tapi jadi alpa apabila ada perkara yang lebih utama dalam perkiraannya. Atau yang memang bermudah-mudah kerana malasnya.

Solat. Engkau sudah memberitahu yang ia amalan pertama yang akan dihisab. Ah, kami ini banyak lekanya menghitung untung rugi dunia sehingga terlupakan mizan di sana.
Banyak sekali kalau mahu dibentang bicara engkau tentang ini. Serasa malu mahu terus menyebutnya mengingat nilai solat itu di hati kami.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
“Ya Allah, Jadikanlah aku dan keturunanku orang-orang yang mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, makbulkanlah doa kami”

Ya Allah, jadikanlah kami, ahli keluarga kami, sahabat-sahabat kami juga seluruh umat Islam orang-orang yang menjaga solat. Dan jadikanlah solat kami penghalang dari perbuatan keji dan munkar. Juga jadikanlah ia pendorong untuk kami menjadi Muslim yang sebenar.Amin.

BACA SELENGKAPNYA - Kembara Itu (catatan 27 Rejab)
Back to Top