Makin kita beroleh nikmat, makin kedekut kita, makin kikir kita untuk berkongsi dengan yang lain. Makin bongkak kita. Makin tidak bertamadun juga terkadang. Kerana kita gagal untuk memahami beberapa perkara asas dalam pendidikan. Gagal untuk kenal diri sebenarnya. Hamba, khalifah, sebaik-baik umat(khair ummah), ummah wasota.
Kita gagal faham, justeru gagal bersyukur. Menarik untuk melihat ayat quran yang menyebut “sekiranya kamu bersyukur akan aku tambahkan nikmat untukmu”. Ayat ini dari surah Ibrahim di mana pokok perbincangannya adalah dakwah. Justeru? Bersyukur yang sebenar itu bagaimana? Kita harus menyibukkkan diri dakwah.
Kalau menyebut dakwah, sepertinya ia suatu yang sangat besar, milik ustaz ustazah yang mengambil jurusan agama, lulusan timur tengah atau mana-mana pondok. Tapi sebenarnya tidak. Ok, gantikan ia dengan perkataan yang lebih mudah; mengajak orang ke arah kebaikan, sesuai seperti yang dikehendaki Islam. Justeru, ia milik semua kan, tugas bersama. Dari komponen kecil terpenting masyarakat iaitu keluarga hinggalah kepada masyarakat yang lebih besar lingkungannya.
Untuk permulaan, tak perlu pergi jauh-jauh. Pertama, lihat diri kita dulu kerana dakwah ini bermula dari kita sendiri. Islah nafsak, wad’uu gairak- Perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain. Diri itu yang asas. Kemudian orang terdekat. Teman rapat contohnya. Jangan kita terkejut nanti di akhirat, teman baik kita sendiri akan saman. Dalam Quran disebut, teman baik itu di akhirat nanti akan saling menyalahkan kecuali orang yang bertaqwa. Kenapa? Kerana sebagai teman kita tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang sepatutnya. Belum sebut lagi orang lain, mereka dari agama lain yang akan sama menyaman kita kerana kita tidak menyampaikan Islam pada mereka.
Bila sebut dakwah , ia berkaitan dengan agama. Islam itu sendiri. Agama, untuk sesetengah kita adalah satu penjara, satu beban. Ia bukan rahmah, solusi untuk masalah kita. Justeru, kita tidak gembira mengamalkan agama mahupun berbangga dan jauh sekali ingin berkongsi kegembiraan dan keseronokan kita beragama kepada orang lain. Mengapa? Kerana kita mengambil agama dari sudut hukum sahaja, wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Kita tidak pergi jauh lagi memahami mengapa wajib itu wajib, haram itu haram? Ada banyak penjelasan tentang ini. Tapi, mari kita renungkan penjelasan ringkas tentangnya. Mengapa kita kena solat? Tak solat tak bolehkah?Solat 5 waktu itu wajib.Macam makan.kena makan tak? Kena. Kalau tak, mati. Hukum-hukum WAJIB ini juga berkaitan hidup dan mati juga. Apa yang mati kalau kita tidak solat? Jiwa. Apa yang akan mati kalau kita berbuat perkara yang haram? Jiwa.
Ingat, diri kita terdiri dari dua komponen, jasad dan ruh. Jasad makanannya- nasi, sayur, ikan, daging. Ruh makanannya- solat, puasa,sedekah,zakat. Untuk dapat kesihatan yang sempurna, kita perlu nutrien yang cukup. Karbohidrat, protein, vitamin, zat galian. Cuba fikirkan ini:
Hidangan asas – nasi = Solat wajib ( solat 5 waktu)
Hidangan Sampingan- ayam, daging, sayur = solat-solat sunat.